amree30/07/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — Tasco Berhad memulakan tahun kewangan 2027 (FY27) dengan prestasi lebih lemah daripada jangkaan berikutan penyusutan keuntungan pelbagai segmen, menurut penganalisis
Ini termasuk dalam pelbagai segmen penghantaran laut, logistik domestik dan rantaian bekalan sejuk yang memberi tekanan kepada pendapatan syarikat itu, sekali gus menjadi cabaran utama pasaran.
Keuntungan bersih bagi suku pertama FY27 hanya berjumlah RM6.9 juta, iaitu 18% daripada unjuran penuhnya dan 15% daripada jangkaan konsensus, menyebabkan prestasi itu berada di bawah sasaran.
"Kami namun tetap mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Tasco dengan harga sasaran (TP) 56 sen sesaham berdasarkan 10 kali ganda pendapatan sesaham (EPS) FY27," jelas MBSB Research dalam nota.
Ujarnya, segmen penghantaran barang antarabangsa (IBS) dijangka terus bertambah baik apabila lebih banyak urus niaga beralih susulan ketidaktentuan pasaran, dan berpotensi meningkatkan margin.
Prestasi itu sebaliknya diimbangi kelemahan penghantaran laut yang susut 3.9% akibat kesukaran mendapatkan ruang kontena, sekali gus menjejaskan sumbangan keuntungan daripada segmen berkenaan.

MBSB Research berkata, logistik kontrak Tasco terjejas berikutan isu pengurangan pelepasan kastam akibat penyusutan penghantaran, manakala rantaian bekalan sejuk kehilangan banyak pelanggan utama.
"Justeru, kami mengekalkan unjuran pendapatan FY27 buat masa ini dan akan menilai semula prospek selepas keputusan 2QFY27, sambil berpandangan pemulihan pada suku-suku yang akan datang," katanya.
Sementara itu, RHB Research pula mengekalkan saranan 'beli' dengan menaikkan TP kepada 66 sen berbanding 61 sen, selain jangkaan hasil dividen yang mampu mencecah kira-kira 4% bagi FY27.
Firma penyelidikan itu berpandangan kelemahan keputusan kewangan Tasco bagi suku pertama lebih bersifat sementara dan akan baik pada separuh kedua FY27 apabila dua gudang baharu beroperasi.
Ia mengekalkan unjuran pendapatan sambil menyifatkan penilaian saham masih menarik dengan enam kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY27, lebih rendah daripada purata sejarah lima tahun.
"Antara risiko utama yang perlu diberi perhatian ialah kemungkinan kehilangan pelanggan utama, penyusutan margin operasi dan kadar tambang pengangkutan," kata RHB Research. - DagangNews.com






