amree29/07/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Sasbadi Holdings Berhad mencatatkan hasil berjumlah RM90.198 juta bagi tempoh kumulatif selama sembilan bulan berakhir 31 Mei 2026 (9MFY26), penyusutan kira-kira 7.3%.
Ujarnya, prestasi lemah tersebut berbanding sebanyak RM97.298 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu, disebabkan terutamanya oleh ketiadaan jualan daripada program Baucar Buku Madani.
Bagaimanapun menurutnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kemerosotan itu diimbangi tempahan pelbagai sekolah yang lebih baik serta sumbangan daripada segmen alat tulis dan rumusan digital.
"Bagi tempoh kumulatif itu, kumpulan turut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM11.151 juta, iaitu penurunan kecil berbanding RM14.671 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya," jelas Sasbadi.
Untuk suku ketiga (3QFY26), syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) susut kepada RM263,000 daripada RM684,000 kesan daripada pendapatan dan hasil-hasil lain yang lebih rendah.
Tambah kumpulan tersebut, pendapatan turut merosot secara marginal kira-kira 1.37% kepada sebanyak RM21.217 juta berbanding RM21.511 juta pada tempoh suku ketiga tahun kewangan yang sebelumnya.

Dalam pada itu ujar Sasbadi, bahagian penerbitan cetak mengalami penurunan hasil sebanyak RM19.848 juta bagi tempoh 9MFY26 dan jatuh kepada RM18.301 juta berbanding RM19.307 juta pada 3QFY26.
"Bahagian alat tulis berasaskan kertas pula mencatatkan peningkatan hasil kepada kira-kira RM0.562 juta bagi suku tersebut susulan pengambilalihan penuh Edu Paper and Stationery Sdn Bhd," katanya.
Sementara hasil bahagian rumusan digital naik berikutan tender Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi perkhidmatan ujian penguasaan Bahasa Inggeris dan pembekalan buku cerita interaktif.
Meskipun ada penurunan hasil bagi tempoh itu, Sasbadi kekal optimis terhadap prospek bagi baki tahun kewangan 2026 disandarkan kepada inisiatif Baucar Buku MADANI 2026 diumumkan pada Mei lalu.
Proses penebusan bermula Julai 2026 dan langkah tersebut dijangka memberi impak positif kepada jualan melalui platform dalam talian Book Capital, Sasbadi Online, dan United Publishing House.
"Selain itu, kumpulan sedang bersedia membida tender buku teks Kurikulum Persekolahan 2027 bagi subjek tahun dua sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan tingkatan dua sekolah menengah," katanya.
Projek rintis Bilik Darjah Berkuasa AI (AIPCP) juga mendapat maklum balas positif daripada guru dan pelajar, sekali gus memperkukuh kedudukan kumpulan dalam sektor inovasi pendidikan. - DagangNews.com






