amree29/07/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Julai – Pantech Global Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih 36.11% kepada RM16.36 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mei 2026 berbanding RM12.02 juta pada 1QFY26.
Kata kumpulan berkenaan, peningkatan positif prestasi bagi tiga bulan tersebut didorong terutamanya oleh faktor volum jualan yang lebih tinggi dan harga jualan purata (ASP) semakin bertambah baik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, perkembangan tersebut turut mencerminkan keupayaan kumpulan untuk mengimbangi kesan tarif serta kenaikan kos bahan mentah dan tenaga dunia.
"Pantech Global melaporkan bahawa perolehan bagi suku tersebut melonjak 27.10% kepada RM159.68 juta berbanding RM125.63 juta pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya (1QFY26)," jelasnya lagi.
Selain daripada faktor volum jualan dan ASP, keuntungan berkenaan turut disokong oleh faktor campuran produk lebih memihak serta pergerakan pertukaran mata wang asing (forex) yang menguntungkan.

Ujarnya, jika dibandingkan dengan suku sebelumnya (QoQ), perolehan kumpulan meningkat sebanyak 17.16% daripada RM136.29 juta, manakala untung bersih meningkat kira-kira 43.63% daripada RM11.39 juta.
Mengenai prospek masa hadapan syarikat, Lembaga Pengarah Pantech Global kekal optimis untuk terus memberikan tahap prestasi yang lebih memuaskan bagi tahun kewangan berakhir pada 28 Februari 2027.
"Keyakinan ini disokong oleh permintaan yang semain berdaya tahan dalam industri pengguna akhir utama serta pelaburan dalam infrastruktur secara berterusan bagi menjana pulangan lebih baik," tambahnya.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 2024 itu merupakan pengeluar dan pengeksport terkemuka bagi kelengkapan paip kimpalan keluli karbon dan keluli tahan karat, serta paip dikimpal keluli tahan karat. - DagangNews.com






