hamden14/08/2026 - 16:32 KUALA LUMPUR 14 Ogos - FGV Palm Industries Sdn Bhd (FGVPI) menyasarkan keuntungan sebelum cukai (PBT) RM1 bilion menjelang 2030, didorong perubahan strategik model perniagaan serta peningkatan produktiviti operasi.
Ketua Pegawai Eksekutif FGVPI, Hamdan Ismail, berkata syarikat itu kini beralih daripada peranan tradisional sebagai pemproses utama kepada model perniagaan “beli buah, jual minyak”, yang dijangka bermula pada 1 Oktober.
Beliau berkata pelan hala tuju strategik itu merangkumi peningkatan sasaran PBT secara berperingkat kepada RM400 juta pada 2027, RM600 juta pada 2028, RM800 juta pada 2029 dan RM1 bilion pada tahun berikutnya.
“Saya telah mengira trajektori ini berdasarkan perubahan dalam operasi perniagaan kami. Dengan beralih kepada jualan minyak secara langsung, kami meletakkan FGVPI sebagai entiti penjana keuntungan bernilai tinggi,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian pengiktirafan pendidikan tidak formal bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Bangi pada Jumaat.
FGVPI ialah anak syarikat FGV Holdings Bhd yang mengendalikan 63 kilang kelapa sawit di seluruh negara, menjadikannya antara pengendali kilang kelapa sawit terbesar di Malaysia.
Syarikat itu bertanggungjawab memproses buah tandan segar daripada pekebun kecil serta komuniti peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Bagi memacu pertumbuhan tersebut, Hamdan berkata RM45 juta diperuntukkan untuk pembangunan modal insan melibatkan 5,800 pekerjanya, dengan tumpuan meningkatkan produktiviti tahunan sebanyak 30%.
“Saya mahu melihat peningkatan produktiviti sebanyak 30%. Ia mungkin kelihatan sukar, tetapi saya telah membuat pengiraan di atas kertas dan ia boleh dicapai.
“Pekerja yang kompeten akan menghasilkan operasi yang cekap. Operasi yang cekap pastinya akan meningkatkan produktiviti, yang seterusnya akan memperkukuh daya saing FGV,” katanya.
Mengenai kecemerlangan operasi, Hamdan berkata FGVPI telah mengekalkan kadar perahan minyak melebihi 21% di semua kilangnya di seluruh negara, dengan Kilang Sawit Chuping mencatat kadar tertinggi sebanyak 24%.
Beliau berkata FGVPI, sebagai antara pemain utama industri minyak sawit negara, turut akan meningkatkan usaha menaikkan kadar pemulihan isirung sawit melebihi sasaran 5% bagi meningkatkan pulangan kepada peneroka Felda.
“Walaupun purata industri masih rendah, FGV sebagai pemain utama perlu berusaha melepasi sasaran 5% bagi membolehkan harga buah yang lebih tinggi.
“Pulangan yang lebih tinggi kepada peneroka akan membantu memastikan kitaran ekonomi terus bergerak, selain menyumbang kepada kesejahteraan berjuta-juta peneroka Felda dan komuniti Felda secara keseluruhannya,” katanya. - BERNAMA






