amree04/08/2026 - 12:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 4 Ogos – Unisem (M) Berhad masih mencatatkan keuntungan bagi tempoh separuh pertama FY26 meskipun hanya memenuhi kira-kira satu perenam daripada unjuran tahunan TA Securities.
Firma itu namun yakin kumpulan tersebut kembali mencatat pertumbuhan hasil yang lebih kukuh pada separuh kedua tahun ini, dipacu permintaan berterusan sektor kecerdasan buatan (AI) dan pusat data (DC).
Menurutnya, prestasi masih dianggap menepati jangkaan kerana syarikat dijangka mencatat peningkatan berperingkat susulan pertumbuhan kukuh segmen perindustrian yang menerima manfaat pelaburan global.
"Justeru, kami menaik taraf saranan terhadap saham Unisem daripada 'jual' kepada 'pegang', selain menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM4.81 berbanding RM3.45 sebelum ini," jelas TA Securities.
Ia merujuk keuntungan bersih teras Unisem bagi separuh pertama FY26, meningkat 171.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM19.8 juta, disokong peningkatan hasil kira-kira 15.1% kepada sebanyak RM1.03 bilion.
Perkembangan positif itu disokong pertambahan jumlah jualan dan penambahbaikan margin keuntungan, dengan secara suku ke suku (QoQ), syarikat kembali mencatat keuntungan bersih teras RM29.2 juta.

Jumlah itu ujar TA Securities, meningkat berbanding kerugian bersih RM9.5 juta sebelum ini, dipacu peningkatan margin, penggunaan kapasiti kilang serta penambahbaikan tahap kecekapan operasi Unisem.
"Segmen perindustrian muncul sebagai penyumbang terbesar hasil pada suku kedua FY26 dengan 44% daripada keseluruhan, mencerminkan permintaan semakin kukuh oleh pelanggan berkaitan AI," katanya.
Lebih 75% tempahan dalam segmen perindustrian bagi aplikasi pengurusan tenaga dalam pembangunan infrastruktur AI dan DC, sekali gus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan syarikat ketika ini.
Bagi suku ketiga FY26 ujar TA Securities, Unisem menjangka hasil dalam dolar Amerika Syarikat (AS) naik hingga 15%, disokong permintaan berterusan perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor.
Pada masa sama, operasi di Malaysia dijangka mencapai titik pulang modal pada suku itu, manakala pemindahan operasi pemasangan dan ujian pakej ke kilang baharu di Gopeng, Perak hampir selesai.
"Kami berpandangan fasa kedua pengembangan kilang itu dimulakan pada hujung 2026, dengan permintaan terus meningkat daripada sektor AI dan DC serta perluasan kapasiti pengeluaran," jelas firma itu.
Perkembangan positif ini kata TA Securities, mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang Unisem, sekali gus menyokong peningkatan penilaian saham syarikat pada masa hadapan. - DagangNews.com






