Pertumbuhan Capital A masih kukuh bagi 2QFY26 dipacu perniagaan Teleport dan AirAsia MOVE

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 4:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pertumbuhan Capital A masih kukuh bagi 2QFY26 dipacu perniagaan Teleport dan AirAsia MOVE Image from: Pertumbuhan Capital A masih kukuh bagi 2QFY26 dipacu perniagaan Teleport dan AirAsia MOVE amree04/08/2026 - 16:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 OgosCapital A Berhad berjaya mengekalkan momentum pertumbuhan pada suku kedua FY26 meskipun berdepan kelembapan bermusim serta ketegangan berterusan di Timur Tengah.

 

Menurut kenyataan kumpulan tersebut, beberapa segmen utamanya mencatat prestasi memberangsangkan susulan pengembangan positif perniagaan pihak ketiga dan permintaan digital yang terus meningkat.

 

Strategi kepelbagaian sumber hasil merentasi segmen kejuruteraan, logistik, platform pelancongan dalam talian, pelesenan jenama serta makanan dan minuman (F&B) membolehkannya mencatat pertumbuhan.

 

"Dalam segmen Asia Digital Engineering (ADE), jumlah tempahan kerja bengkel yang berjaya disiapkan meningkat 23%, didorong faktor permintaan kukuh daripada pelanggan pihak ketiga," kata Capital A. 

 

Segmen logistik dikendalikan Teleport terus mencatat pertumbuhan dengan 85,877 tan kargo, naik 11%, manakala jumlah bungkusan e-dagang rentas sempadan diuruskannya melonjak 79% kepada 56.5 juta unit.

 

Prestasi itu disokong peningkatan penggunaan pesawat kargo khusus, pertumbuhan operasi kargo pihak ketiga dan keupayaan rangkaian logistik hibrid memenuhi permintaan berkembang di Asia Pasifik.

 

Capital A Berhad_DagangNews2026

 

Tambah Capital A, platform pelancongan digital, AirAsia MOVE merekodkan peningkatan 22% pengguna aktif bulanan kepada 16.3 juta, manakala nilai tempahan kasar (GBV) pula mencecah RM5.32 bilion.

 

"Jumlah transaksi di platform itu turut naik kepada 11.8 juta, dipacu tempahan penerbangan melalui rangkaian WANO, dan penambahan beberapa syarikat penerbangan ke dalam platform FlyBeyond," katanya.

 

Dalam segmen penjenamaan, AirAsia Next terus memperkukuh ekosistem melalui pemeteraian perjanjian pelesenan jenama utama untuk memasuki sektor penjagaan kesihatan, serta pembentukan AirAsia Hotels.

 

Pada masa sama ujarnya, platform kesetiaan AirAsia Rewards kini ada lebih 37.1 juta ahli aktif, manakala BigPay meningkatkan bilangan pengguna aktif kepada 1.7 juta dengan purata transaksi naik 16%.

 

Bagi segmen F&B, perniagaan e-dagang Santan mencatat lonjakan luar biasa apabila jumlah transaksi meningkat kira-kira 855% tahun ke tahun (YoY) berikutan kempen pemasaran digital yang berjaya.

 

"Secara keseluruhan, perkembangan positif ini sekali gus mengukuhkan daya tahan portfolio perniagaan Capital A dalam mengharungi persekitaran operasi yang mencabar," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved