amree12/11/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Keyfield International Berhad memperluas perniagaan melangkaui sektor minyak dan gas (O&G) menerusi pengambilalihan kapal pengorek mega, Keyfield Karuna, susulan permintaan terhadap perkhidmatan kapal luar pesisir menunjukkan peningkatan.
Kumpulan pemilik armada kapal luar pesisir itu berkata, kapal jenis 'Trailing Suction Hopper Dredger' (TSHD) itu diterima pada Oktober 2026 dan kini menjalani kerja-kerja pembaikan serta pengaktifan semula sebelum memulakan operasi komersial pada 2027.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Eksekutifnya, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata, pengambilalihan itu menandakan langkah pertama dalam industri pengorekan, sekali gus mempercepatkan usaha mempelbagaikan sumber pendapatan kumpulan.
Menurutnya, langkah itu bersama pengambilalihan tongkang pemasangan kabel, Keyfield Blessing, pada tahun lalu akan membantu kumpulan berkembang daripada penyedia kapal sokongan luar pesisir minyak dan gas kepada penyedia rumusan marin secara lebih menyeluruh.
"Dari segi prestasi kewangan, Keyfield mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) RM41.4 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), naik 0.2% berbanding RM41.3 juta pada suku sama tahun lalu," maklumnya kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, hasil kumpulan melonjak kira-kira 30.4% kepada sebanyak RM172.5 juta daripada hanya RM132.3 juta, manakala kadar penggunaan kapal miliknya meningkat kepada 89% berbanding 81.4% yang pernah dicatatkan pada 3QFY25.

Darren berkata, peningkatan hasil didorong aktiviti penyewaan kapal yang rancak, kadar penggunaan armada sendiri baik serta peningkatan hari penyewaan kapal pihak ketiga. Permintaan terhadap kapal jenis Anchor Handling Tug Supply (AHTS) khususnya kekal kukuh, manakala permintaan bagi Accommodation Work Barges (AWB) di pasaran Malaysia menunjukkan pemulihan beransur-ansur.
Beliau berkata, operasi antarabangsa turut menyumbang kira-kira 18.2% kepada hasil bagi suku ketiga, meningkat ketara daripada 6.8% pada tempoh sama tahun lalu, dengan permintaan di Malaysia, Timur Tengah dan Thailand kekal memberangsangkan.
"Peningkatan hasil namun tidak diterjemahkan kepada pertumbuhan keuntungan yang setara berikutan kadar sewaan AWB milik sendiri yang lebih sederhana serta sumbangan hasil lebih tinggi daripada kapal pihak ketiga yang mempunyai margin keuntungan kasar lebih rendah," jelasnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, PATAMI kumpulan susut 6.1% kepada RM120.6 juta daripada RM128.4 juta, manakala hasil turun 5.1% kepada RM333.2 juta berbanding RM351.1 juta sebelumnya. EBITDA turut berkurang 6.7% kepada RM203.8 juta.
Mengulas prospek, Darren berkata kumpulan menjangkakan peningkatan kadar penggunaan kapal dalam suku akan datang, manakala jangkaan peningkatan aktiviti luar pesisir pada 2027 dan 2028 dijangka membuka lebih banyak peluang pertumbuhan.
Keyfield turut mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 2.0 sen sesaham bagi 3Q2026, yang akan dibayar pada 8 Januari 2027. - DagangNews.com






