amree30/10/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — Rohas Tecnic Berhad merancang memperluas perniagaan ke sektor infrastruktur pusat data (DC) menerusi pengambilalihan 51% kepentingan dalam Centrix Engineering (M) Sdn Bhd dengan nilai sehingga RM14.28 juta.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, langkah itu dijangka membuka peluang kepada kumpulan memasuki pasaran kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) khususnya bagi DC, telekomunikasi, pembuatan termaju dan tenaga boleh baharu.
Pengambilalihan itu namun bergantung kepada keupayaan Centrix mencapai sasaran keuntungan selepas cukai terkumpul sekurang-kurangnya RM8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan 2027, seperti dijamin penjual, Chin Kok You.
"Anak syarikat milik penuh Rohas, Inspirasi Fokus Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat dengan Kok You pada 29 Oktober 2026 bagi memperoleh 510,000 saham Centrix, mewakili 51% daripada modal saham terbitan," tambahnya.
Nilai pembelian diunjur RM14.28 juta itu akan dibayar secara tunai dalam tiga peringkat, iaitu RM6.28 juta ketika penyempurnaan transaksi, manakala baki sehingga RM8 juta bergantung kepada pencapaian sasaran keuntungan Centrix.
Bagi tahun kewangan 2026, Centrix perlu mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sekurang-kurangnya RM3.5 juta, diikuti RM4.5 juta bagi 2027. Jika gagal mencapai sasaran, bayaran tertangguh ditolak mengikut jumlah kekurangan berkenaan.

Malah, sekiranya Centrix mencatatkan kerugian bersih terkumpul sepanjang kedua-dua tahun tersebut, tiada bayaran tertangguh perlu dibuat dan sebarang bayaran peringkat kedua yang telah diterima penjual perlu dipulangkan kepada Rohas.
"Centrix yang ditubuhkan pada 2014 menyediakan perkhidmatan kejuruteraan M&E serta rumusan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), khususnya sistem tenaga dan penyejukan untuk DC serta infrastruktur telekomunikasi," katanya.
Prestasi kewangannya menunjukkan peningkatan apabila hasil bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 naik kepada RM53.84 juta berbanding RM32.01 juta pada 2025, manakala keuntungan selepas cukai melonjak kepada RM4.11 juta daripada RM1.44 juta.
Centrix turut ada buku tempahan terjamin bernilai RM50.75 juta setakat tarikh pengumuman. Kok You yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri kejuruteraan M&E akan kekal memegang 49% ekuiti serta meneruskan tugas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu.
Rohas berkata pengambilalihan dijangka menyumbang kepada pendapatan kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026. Bagaimanapun, nisbah penggearan diunjurkan naik kepada 0.45 kali daripada 0.40 kali, manakala nilai aset bersih sesaham kekal RM0.68.
Pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku keempat 2026, tertakluk kepada pemenuhan atau pengecualian syarat dalam perjanjian. Rohas turut melihat pertumbuhan pesat sektor DC, termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan, sebagai peluang untuk mengembangkan perniagaan infrastruktur kritikal serta meningkatkan sumbangan pendapatan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com






