Usahawan Bumiputera ditawarkan peluang modal RM2.15 juta ceburi industri ikan kelah bernilai tinggi

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 9:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Usahawan Bumiputera ditawarkan peluang modal RM2.15 juta ceburi industri ikan kelah bernilai tinggi Image from: Usahawan Bumiputera ditawarkan peluang modal RM2.15 juta ceburi industri ikan kelah bernilai tinggi amree04/11/2026 - 09:40 Gambar hiasan - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov — Usahawan Bumiputera khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), ditawarkan peluang untuk menceburi industri penternakan ikan kelah bernilai tinggi menerusi projek RM2.15 juta yang menggabungkan teknologi, penyelidikan dan sokongan pengkomersialan.

 

Inisiatif kerjasama Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu bertujuan membina keupayaan peserta mengusahakan perusahaan akuakultur secara mampan, menjana pendapatan serta mengembangkan perniagaan dalam sektor berpotensi tinggi.

 

Menerusi projek 'Breeding of Mahseer and Local Fish Species' yang diterajui UTM, sebanyak 15 lokasi penternakan di Johor dikenal pasti untuk pelaksanaan program berkenaan, dengan peserta bakal menerima kemudahan ternakan, latihan teknikal dan pemindahan teknologi.

 

"Setiap peserta dibekalkan tiga kolam ternakan, sistem penapisan air serta kelengkapan sokongan, selain latihan pengurusan ternakan dan keusahawanan bagi mengurangkan halangan awal dari segi modal, kemudahan dan pengetahuan teknikal," jelas Teraju dalam kenyataan.

 

Projek itu turut menggunakan Sistem Akuakultur Kitar Semula (RAS) bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air, selain membangunkan teknologi berasaskan Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan kegagalan pam air serta mengautomasikan pemberian makanan ikan.

 

Tambahnya, teknologi pengesanan pam membolehkan gangguan operasi dikenal pasti lebih awal bagi mengurangkan risiko kematian ikan, manakala sistem pemberian makanan automatik membantu mengoptimumkan penggunaan makanan dan meningkatkan kecekapan penternakan.

 

kelah_Bernama
MENTERI Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menunjukkan ikan kelah pada Majlis Pengiktirafan Impak Pemerkasaan Industri Kelah Bernilai Tinggi Melalui Inovasi dan Ekosistem Living-Lab Bersepadu di Dusun UTM Skudai, di Johor Bahru, Johor - Foto BERNAMA

 

Selain itu ujar Teraju, penyelidikan UTM turut meliputi aspek pembangunan teknologi pembenihan ikan kelah serta penggunaan teknologi ultrabunyi untuk mengesan telur spesies air tawar berkenaan bagi menyokong penghasilan sumber benih tempatan.

 

"Dari segi pulangan, peserta disasarkan menjana pendapatan utama melalui penjualan ikan kelah apabila mencapai saiz komersial, yang lazimnya mengambil masa dua setengah hingga tiga tahun. Dalam tempoh menunggu tuaian, mereka boleh memperoleh pendapatan tambahan menerusi ternakan ikan sampingan seperti tilapia dan penghasilan produk hiliran," katanya.

 

Bagi memperkukuh peluang pasaran, projek itu turut melibatkan rakan industri termasuk Far-East Planet bagi membantu menghubungkan peserta dengan pasaran serta menyokong pemasaran hasil ternakan apabila mencapai saiz komersial.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Junady Nawawi berkata, kejayaan kerjasama itu perlu diukur berdasarkan keupayaan peserta membangunkan perusahaan berdaya maju dan berkembang, bukannya semata-mata berdasarkan kemudahan yang disediakan.

 

Beliau berkata, kerjasama dengan UTM membolehkan hasil penyelidikan dan kepakaran universiti dimanfaatkan oleh komuniti Bumiputera untuk membina perusahaan serta menjana pendapatan, selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved