johardy10/10/2026 - 16:46 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Okt - Khazanah Nasional Bhd bersama kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor masing-masing akan memperuntukkan RM50 juta kepada Dana Pelaburan Strategik bersaiz awal RM150 juta bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor dan pembuatan termaju Malaysia serta menyokong pertumbuhan syarikat tempatan berpotensi tinggi.
Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata, kerjasama itu selaras dengan tumpuan Belanjawan 2027 untuk memperkukuh daya saing negara menerusi pembangunan sektor strategik.
Secara berasingan, Dana Ciptawan akan diperluas kepada RM250 juta dengan kerjasama TERAJU bagi menyokong pertumbuhan syarikat Bumiputera dan syarikat Malaysia bersaiz pertengahan.
Inisiatif tersebut menyokong penekanan belanjawan terhadap industri strategik, inovasi dan akses kepada pasaran baharu bagi memperkukuh asas perindustrian negara serta mewujudkan peluang bernilai lebih tinggi untuk perniagaan dan pekerja.
“Penekanan belanjawan terhadap pembangunan vendor, inovasi dan penerokaan pasaran baharu memperkukuh peluang pengembangan perniagaan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan mengenai Belanjawan 2027.
ARTIKEL BERKAITAN: Belanjawan 2027 mampu lahirkan lebih banyak SkyeChip?
Menurut Khazanah, tumpuan terhadap semikonduktor, peralihan tenaga, infrastruktur, pembangunan perusahaan dan bakat akan membantu memperkukuh daya saing jangka panjang Malaysia ketika negara berdepan ketidaktentuan geopolitik, tekanan rantaian bekalan dan harga bahan api yang tinggi akibat konflik di Asia Barat.

Pelaburan tenaga dan gaji kehidupan
Amirul Feisal turut mengetengahkan pelaburan tenaga boleh diperbaharui (RE) bernilai RM1 bilion oleh UEM Lestra serta pelaburan Tenaga Nasional Bhd dalam Grid Nasional bagi menyokong keselamatan bekalan tenaga, kemampuan pengguna dan kemampanan.
Khazanah juga menyokong peningkatan penanda aras gaji kehidupan kepada RM3,400 sebulan bagi pekerja syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seiring usaha meningkatkan bahagian pendapatan buruh dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menurutnya, langkah dalam belanjawan itu turut memberi perhatian kepada pekerja, belia, usahawan, syarikat Bumiputera serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana, di samping memperkukuh daya tahan masyarakat terhadap cabaran ekonomi dan perubahan iklim.
Khazanah akan meneruskan kerja pemulihan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa melalui pelaburan Dana Warisan di bawah inisiatif Warisan KL.
Dana kekayaan negara itu turut menyatakan kesediaan untuk terus menyalurkan modal dan kepakaran melalui Dana Impak, Jelawang Capital, Dana Ciptawan, Dana Warisan, K-Youth, Bakat MADANI dan Yayasan Hasanah bagi menyokong pembangunan perusahaan, bakat serta inovasi.
Khazanah akan bekerjasama dengan GLIC lain di bawah program GEAR-uP Kementerian Kewangan untuk menggerakkan modal dengan lebih berkesan melalui pelaburan berdisiplin, kerjasama strategik dan program yang menyokong keutamaan ekonomi serta pembangunan negara. — DagangNews.com






