Khazanah pindah hampir RM20 juta kepada FashionValet pada 2018, mahkamah diberitahu

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 5:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Khazanah pindah hampir RM20 juta kepada FashionValet pada 2018, mahkamah diberitahu Image from: Khazanah pindah hampir RM20 juta kepada FashionValet pada 2018, mahkamah diberitahu hamden18/08/2026 - 17:18 Gambar Arkib/ BERNAMA

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu dana kekayaan negara Khazanah Nasional Bhd memindahkan hampir RM20 juta kepada akaun bank FashionValet pada 2018.

 

Perkara itu didedahkan Pengurus cawangan Menara CIMB KL Sentral, Lee Hui Nee, ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan keempat dalam perbicaraan membabitkan pengasas bersama FashionValet, Datuk Fadzarudin Shah Anuar dan Datin Vivy Sofinas Yusof.

 

Lee mengesahkan dua transaksi dipindahkan daripada akaun CIMB Khazanah kepada akaun awam FashionValet pada Mac 2018.

 

Menurutnya, sebanyak RM7.848 juta dipindahkan pada 23 Mac 2018, manakala RM11.742 juta lagi dipindahkan pada 26 Mac 2018.

 

Kedua-dua transaksi tersebut mempunyai keterangan “Rentas Non Treasury Pulau Tiga Ventures FashionValet Sdn Bhd”, katanya lapor The Edge.

 

Lee turut memberitahu mahkamah selain kedua-dua transaksi pada Mac 2018 itu, tiada pemindahan lain daripada akaun CIMB Khazanah kepada FashionValet.

 

Beliau berkata pemindahan dana berkenaan dibuat berdasarkan arahan bertulis yang mempunyai tandatangan penandatangan sah Khazanah Nasional Bhd.

 

Katanya, penandatangan sah Khazanah bagi akaun CIMB tersebut pada 2022 dibahagikan kepada dua kumpulan.

 

Kumpulan pertama terdiri daripada Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, Faridah Abu Bakar Ali, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz dan Datuk Mohamed Nasri Sallehuddin.

 

Kumpulan kedua pula terdiri daripada Nik Nazhah Nik Abdul Aziz, Juhana Hamzah, Ng Eu Gin dan Ainol Roznain Yaacob.

 

Tidak tahu bagaimana dana dibelanjakan

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Shaarvin Raaj Selva Kumar, Lee bersetuju bahawa beliau tidak berada dalam kedudukan untuk memberi komen mengenai bagaimana wang tersebut dibelanjakan selepas pemindahan dibuat.

 

Beliau turut bersetuju bahawa tidak mengetahui sebarang perjanjian antara FashionValet dan Khazanah yang menetapkan bagaimana dana berkenaan perlu digunakan.

 

Lee juga bersetuju bahawa akaun CIMB Khazanah tersebut bukan akaun amanah khas atau akaun eskrow.

 

Kes melibatkan dakwaan CBT RM8 juta

Fadzarudin dan Vivy sedang dibicarakan atas pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan dana berjumlah RM8 juta daripada Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

 

Wang berkenaan didakwa dipindahkan daripada akaun FashionValet kepada 30 Maple Sdn Bhd tanpa kelulusan lembaga pengarah FashionValet.

 

Mahkamah sebelum ini turut diberitahu bahawa PNB memindahkan kira-kira RM20 juta kepada FashionValet pada 2018.

 

SSM sahkan jawatan pengarah

Sebelum itu, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R Harshini, tampil sebagai saksi pendakwaan ketiga.

 

Beliau mengesahkan Fadzarudin dilantik sebagai pengarah FashionValet pada Disember 2012, manakala Vivy dilantik sebagai pengarah syarikat itu pada September 2010.

 

Harshini turut mengesahkan kedua-duanya dilantik sebagai pengarah 30 Maple Sdn Bhd pada Disember 2013.

 

Menurutnya, tiada perubahan terhadap status mereka sebagai pengarah dari 2012 hingga 2024.

 

Bagaimanapun, Harshini berkata beliau tidak dapat mengesahkan status kedua-duanya bagi tempoh 2025 hingga 2026 kerana carian SSM yang dibuat tidak merangkumi tempoh tersebut.

 

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad akan bersambung pada 16 Oktober- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved