RM19.59 juta dari akaun Khazanah dipindah kepada FashionValet

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 5:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: RM19.59 juta dari akaun Khazanah dipindah kepada FashionValet

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu sebanyak RM19.59 juta dipindahkan daripada akaun Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) kepada FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) menerusi dua transaksi pada Mac 2018.

Pengurus Cawangan CIMB Bank Berhad, Lee Hui Nee berkata, transaksi pertama berjumlah RM7.848 juta dibuat pada 23 Mac 2018, manakala transaksi kedua sebanyak RM11.742 juta dilakukan pada 26 Mac tahun sama.

Mahkamah turut diberitahu, kedua-dua transaksi itu dibuat secara rentas daripada akaun CIMB milik Khazanah kepada akaun Public Bank milik FashionValet.

Menurut Hui Nee, 58, yang merupakan saksi pendakwaan keempat, semakan terhadap penyata akaun CIMB milik Khazanah bagi tempoh 31 Januari 2017 hingga 31 Disember 2019 mendapati tiada pemindahan wang lain ke akaun FashionValet selain dua transaksi berkenaan.

“Hasil semakan ini, saya mengesahkan bahawa tiada sebarang pemindahan wang ke dalam akaun milik FashionValet sepanjang tempoh tersebut, kecuali dua transaksi yang bertarikh 23 Mac 2018 dan 26 Mac 2018,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuan Abdul Latif dan Haresh Prakash Somiah.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar yang didakwa melakukan pemindahan dana Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM8 juta daripada akaun bank FashionValet kepada sebuah syarikat milik pasangan itu, 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah platform e-dagang berkenaan.

Pasangan itu turut didakwa atas dua pertuduhan pilihan menyalahgunakan harta milik FashionValet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta.

Selain itu, Hui Nee berkata, pemindahan wang itu dibuat berdasarkan surat arahan yang ditandatangani oleh individu yang diberi kuasa oleh Khazanah sebelum CIMB membuat panggilan kepada pegawai berkenaan bagi tujuan pengesahan.

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Shaarvin Raaj Selva Kumar, saksi itu bersetuju bahawa selepas transaksi pada Mac 2018 itu, CIMB tidak menerima sebarang perintah atau notis pembekuan daripada pihak berkuasa berkaitan transaksi berkenaan.

Shaarvin: Puan setuju dengan saya bahawa selepas transaksi pada Mac 2018 ini, pihak CIMB tidak menerima apa-apa perintah atau notis pembekuan daripada pihak berkuasa berkenaan transaksi ini?
Hui Nee: Setuju.

Shaarvin: Puan juga setuju dengan saya bahawa akaun ini adalah akaun korporat biasa dan bukannya akaun amanah khas atau akaun escrow?
Hui Nee: Setuju. Ini akaun korporat, bukan akaun escrow.

Shaarvin: Selepas dana-dana ini dikreditkan ke dalam akaun FashionValet, puan juga tiada apa-apa pengetahuan bagaimana dana tersebut digunakan oleh pihak FashionValet?
Hui Nee: Setuju.

Shaarvin: Puan juga tiada apa-apa pengetahuan berkenaan terma-terma perjanjian antara Khazanah Nasional Berhad dan FashionValet?
Hui Nee: Setuju.

Terdahulu, Penolong Pendaftar Syarikat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), R. Harshini, 36, memberitahu mahkamah bahawa Vivy Sofinas dan Fadzarudin merupakan dua pengarah yang direkodkan bagi FashionValet dan 30 Maple setakat 15 November 2024.

Harshini yang merupakan saksi pendakwaan ketiga berkata, semakan dalam sistem Company Business System (CBS) mendapati tiada pertukaran status pengarah melibatkan pasangan berkenaan sepanjang tempoh 2012 hingga 2024.

“Hasil semakan yang saya lakukan mendapati tiada sebarang pertukaran status pengarah melibatkan Fadzarudin dan Vivy bagi FashionValet dan 30 Maple bagi tempoh 2012 hingga 2024.

“Semakan juga mendapati tiada Borang 49 atau dokumen Seksyen 58 difailkan berhubung sebarang perubahan status pengarah bagi kedua-dua penama tersebut,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Nidzuan dan Haresh.

Menurut Harshini, Vivy dilantik sebagai pengarah FashionValet pada 29 September 2010, manakala Fadzarudin pada 13 Disember 2012 dan bagi 30 Maple pula, kedua-duanya dilantik sebagai pengarah pada 9 Disember 2013.

Mahkamah turut diberitahu, FashionValet merupakan satu-satunya pemegang saham 30 Maple dengan pegangan sebanyak 500,000 saham.

Bagaimanapun, Harshini berkata, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada Vivy dan Fadzarudin masih menjadi pengarah bagi tempoh 2025 hingga 2026 kerana semakannya tidak meliputi tempoh tersebut.

Bagi pertuduhan melakukan pemindahan dana tanpa kebenaran ahli lembaga pengarah, pasangan suami isteri itu didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan salah guna dana tersebut, pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 16 Oktober ini. – UTUSAN

The post RM19.59 juta dari akaun Khazanah dipindah kepada FashionValet appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved