
KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana syarikat berjumlah hampir RM37.1 juta.
Zul Azmi Abu Hussin, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya kerana didakwa menyalahgunakan wang berjumlah RM37,099,999.67 milik Xspec Resources Sdn Bhd.
Zul Azmi yang merupakan pengarah syarikat berkenaan didakwa telah diamanahkan untuk menguruskan dana syarikat sebelum melakukan kesalahan tersebut.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah bank di Taman Tunku, Bukit Tunku, Kuala Lumpur, pada 15 Februari 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Suriatey Mohamed Yusoff, memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan pasport Zul Azmi diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam bela Edly Mohammad Firdaus memohon jumlah jaminan yang lebih rendah, iaitu RM50,000.
Menurut peguam, anak guamnya mempunyai seorang isteri, lima anak serta ibu bapa yang sudah berusia dan bergantung kepadanya.
Mahkamah turut dimaklumkan, Zul Azmi mempunyai masalah kesihatan termasuk paras kolesterol dan tekanan darah tinggi.
Peguamnya juga berkata, anak guamnya memberikan kerjasama kepada pihak penyiasat sebelum pertuduhan dikenakan.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Kafli Che Ali, kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 5 Oktober depan. - Getaran, 14 Ogos 2026






