amree26/11/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Nov — AirAsia Group Berhad melantik Teh Mun Hui sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) baharu berkuat kuasa 1 Disember 2026, ketika syarikat penerbangan itu bersedia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya selepas penyatuan perniagaan penerbangannya.
Pelantikan tersebut membawa kembali beliau ke dalam organisasi AirAsia selepas pernah memegang jawatan sebagai CFO AirAsia Aviation Group Limited sebelum menyertai Capital A Berhad.
Menurut kenyataan, ketika di Capital A, beliau berkhidmat sebagai CFO Kumpulan dan memainkan peranan penting dalam transformasi kewangan syarikat serta kejayaan kumpulan itu keluar daripada status syarikat bermasalah di Bawah Nota Amalan 17 (PN17).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Bo Lingam berkata, pengalaman Mun Hui dalam perniagaan penerbangan dan ekosistem Capital A membolehkannya dapat memahami dengan lebih baik segala operasi serta keutamaan kewangan kumpulan berkenaan.
"Kepimpinan kewangan dan pertimbangan strategik beliau adalah penting ketika AirAsia mula memberi tumpuan kepada pengembangan perniagaan serta usaha menawarkan pulangan secara mampan kepada pemegang saham," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Lingam turut merakamkan penghargaan kepada Kar Chuan atas komitmen dan kepimpinannya menerajui fungsi kewangan kumpulan sepanjang tempoh penting sebelum ini.

Dalam pada itu, Mun Hui pula berkata, beliau berbesar hati menerima tanggungjawab itu pada fasa penting perjalanan AirAsia dan berharap dapat bekerjasama dengan pasukan kepimpinan bagi memperkukuh asas perniagaan serta menyokong pertumbuhan kumpulan.
Beliau terkenal dengan mempunyai pengalaman luas selama lebih 20 tahun dalam bidang kewangan, termasuk sektor penerbangan, kewangan korporat dan transformasi strategik.
"Pengalaman itu merangkumi pengurusan kewangan operasi penerbangan serta peringkat kumpulan, sekali gus memberikan pendedahan terhadap keperluan perniagaan AirAsia dan Capital A," katanya.
Mun Hui turut mendapat pengiktirafan Fortune sebagai antara Wanita Paling Berpengaruh di Asia 2025, selain menjadi salah seorang daripada empat rakyat Malaysia yang disenaraikan dalam pengiktirafan berkenaan.
AirAsia Group, yang dahulunya dikenali sebagai AirAsia X Berhad, memaklumkan pelantikan itu sebagai sebahagian daripada persediaan kumpulan untuk fasa pertumbuhan seterusnya selepas penyatuan perniagaan penerbangannya. - DagangNews.com






