Kibar Jalur Gemilang, trend atau semangat patriotik?

LocalOpinion
18 Aug 2026 • 8:41 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kibar Jalur Gemilang, trend atau semangat patriotik?

SETIAP kali tibanya bulan Ogos, Jalur Gemilang pasti menghiasi bangunan, premis perniagaan, kenderaan dan kediaman sebagai tanda kecintaan rakyat terhadap negara pada Bulan Kebangsaan.

Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian penulis, kibaran bendera kebanggaan negara itu masih lagi kurang meriah, malah di kenderaan juga jarang dilihat Jalur Gemilang dipasang.

Mungkin terlalu awal, ataupun semangat patriotisme rakyat untuk mengibarkan Jalur Gemilang ini sudah ‘menipis’, apapun terlalu awal untuk kita membuat kesimpulan itu.

Apa ingin penulis tegaskan, pengibaran Jalur Gemilang perlu lahir daripada kesedaran dan kecintaan kepada negara, bukan sekadar mengikut trend kempen tahunan.

Erti kemerdekaan juga tidak seharusnya terhenti pada simbol, perarakan, lagu patriotik atau kemeriahan sambutan yang hanya dirasai sepanjang Ogos.

Semangat kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui sikap rakyat dalam menjaga keharmonian, menghormati undang-undang, menghargai kepelbagaian serta tanggungjawab sebagai warganegara.

Ini kerana, kata Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali, semangat kemerdekaan perlu dibuktikan melalui pembentukan rakyat berintegriti, bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan negara.

Katanya, cabaran patriotisme masa kini semakin kompleks berikutan pengaruh media sosial mampu membentuk pemikiran masyarakat pada masa singkat.

Katanya, penggunaan media sosial tanpa tanggungjawab boleh mencetuskan provokasi berkaitan kaum, agama dan institusi Raja berpotensi melemahkan perpaduan.

“Patriotisme zaman ini tidak memadai dengan menunjukkan simbol kecintaan kepada negara, sebaliknya perlu disertai kesediaan menjaga keharmonian dan menolak unsur perpecahan,” katanya.

Sementara itu, Pakar Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian pula berpandangan, semangat patriotisme perlu bergerak seiring rasa tanggungjawab bagi memelihara perpaduan.

Katanya, penghormatan terhadap Perlembagaan, Rukun Negara dan undang-undang antara bentuk patriotisme perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.

Penghayatan kemerdekaan tidak boleh bergantung kepada pendekatan konvensional semata-mata, sebaliknya perlu disesuaikan dengan medium yang dekat dengan kehidupan mereka termasuk media sosial.

Platform digital boleh dimanfaatkan untuk memperkenalkan sejarah, tokoh kemerdekaan, kepelbagaian budaya serta kejayaan negara dengan pendekatan lebih kreatif dan mudah difahami anak muda.

Rakyat perlu mempunyai literasi digital kukuh agar tidak mudah terpengaruh dengan kandungan palsu, provokasi atau naratif sengaja dimainkan bagi mencetuskan perpecahan.

Jalur Gemilang tetap menjadi simbol penting kedaulatan dan identiti negara, namun nilai diwakilinya perlu diterjemahkan melalui tindakan rakyat sepanjang tahun.

Justeru, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 tahun ini, kemerdekaan wajar dilihat lebih luas daripada sekadar berapa banyak bendera dikibarkan, sebaliknya sejauh mana rakyat benar-benar menghargai keamanan, perpaduan dan kebebasan yang diwarisi.

The post Kibar Jalur Gemilang, trend atau semangat patriotik? appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved