
Tenom: Sebuah kilang pemprosesan avokado bernilai kira-kira RM2 juta dibangunkan di daerah ini bagi memperkukuh industri hiliran buah berkenaan sekali gus meningkatkan nilai tambah hasil pertanian tempatan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata pembangunan kemudahan itu merupakan antara usaha memanfaatkan potensi Tenom sebagai salah satu daerah pengeluar utama avokado di Sabah.
Katanya, tanaman berkenaan mempunyai potensi untuk dikembangkan bukan sahaja bagi pasaran buah segar malah diproses kepada pelbagai produk hiliran yang mempunyai nilai komersial lebih tinggi.
Antara produk yang diketengahkan ialah mi berasaskan avokado sekali gus membuktikan buah berkenaan boleh dipelbagaikan penggunaannya dalam industri makanan.
Menurutnya, pembangunan industri hiliran juga penting bagi mewujudkan rantaian nilai yang lebih luas daripada peringkat penanaman dan pengeluaran sehingga kepada pemprosesan serta pemasaran.
Usaha itu secara tidak langsung mampu membuka lebih banyak peluang kepada petani dan usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan menerusi penghasilan produk berasaskan sumber pertanian setempat.
Jamawi berkata demikian ketika ditemui sempena persinggahan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 di sini pada khamis.
Pada program itu, peserta KMJG berpeluang melihat dan mempelajari sendiri proses pembuatan mi berasaskan avokado selain merasai produk berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Negeri Sabah Jainisiah Mohd Noor berkata pelaksanaan KMJG tahun ini sedikit berbeza apabila lebih memberi tumpuan kepada program berasaskan komunitiMenurutnya, pendekatan itu membolehkan peserta bukan sahaja membawa mesej patriotisme tetapi turut mendekati komuniti dan mengenali keunikan serta potensi ekonomi di setiap lokasi persinggahan.
“Pada hari ini kita bersama-sama dengan komuniti di sini dan diberi peluang mencuba bagaimana buah avokado boleh dihasilkan kepada produk lain. Hari ini kami belajar membuat mi daripada avokado,” katanya.
Bagi Pegawai Laksana KM Banggi Maritim Negeri Sabah Lt Kdr (M) Musli Jaffar persinggahan di Tenom memberi pengalaman baharu kepada peserta KMJG kerana mereka dapat mengetahui dengan lebih dekat kepelbagaian sumber yang terdapat di daerah itu.
“Selain menyemarakkan semangat kemerdekaan, kami dapat menyaksikan bagaimana produk berasaskan avokado dihasilkan. Ini satu ilmu baharu kepada kami.
“Rupanya Tenom mempunyai banyak sumber yang sebelum ini kami tidak ketahui dan persinggahan seperti ini memberi peluang kepada kami mengenalinya dengan lebih dekat,” katanya.
Seorang lagi peserta, Pegawai Eksekutif Perkeso Keningau Ahmad Zairun Sulaiman berkata penyertaan dalam KMJG turut memberi peluang kepadanya menimba pengetahuan baharu mengenai avokado selain bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang perjalanan di Tenom.
“Saya baru tahu sebenarnya avokado boleh dibuat mi. Mi itu juga sedap apabila dimakan. Jadi, kami rasa sangat bertuah dan beruntung kerana diberi peluang memperoleh pengalaman seperti ini,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman itu menjadikan penyertaan dalam KMJG lebih bermakna kerana peserta bukan sahaja dapat menyemarakkan semangat kemerdekaan malah memperoleh ilmu dan mengenali potensi produk tempatan di daerah yang dikunjungi.
Memasuki hari keenam KMJG di Sabah, program berkenaan menjadi platform mendekati masyarakat di samping menggalakkan orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Selepas Tenom, konvoi KMJG meneruskan perjalanan ke Keningau sebelum menuju ke Nabawan sebagai lokasi seterusnya dalam siri jelajah di kawasan Pedalaman.






