amree30/07/2026 - 12:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Julai — Kee Ming Group Berhad mencatatkan lonjakan untung bersih sebanyak 99% bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY26), didorong peningkatan aktiviti projek kejuruteraan.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, situasi itu terutamanya oleh permulaan banyak projek komersial baharu di Johor serta dalam projek perindustrian dan kemudahan saling hubungan.
Syarikat penyedia rumusan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) itu melaporkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM16.27 juta, berbanding hanya RM8.17 juta pada tahun sebelumnya.
"Pendapatan kumpulan ini turut menunjukkan peningkatan secara mendadak sebanyak 142.7% kepada RM151.49 juta daripada kira-kira RM62.41 juta bagi tempoh yang sama (FY25)," jelas Kee Ming.
Menurut laporan tahunan sulungnya, pemacu utama prestasi ini adalah sumbangan daripada segmen perkhidmatan kejuruteraan M&E yang menyumbang sebanyak 99.9% daripada jumlah keseluruhan hasil.
Antara pemacu utama pertumbuhan ini termasuklah permulaan projek di Sedenak, Johor; serta aktiviti M&E yang lebih tinggi dalam dua projek industri di Valdor, Pulau Pinang dan Sri Iskandar, Perak.

Di samping itu ujar Kee Ming, peningkatan aktiviti dalam projek kemudahan saling hubungan di Kulim, Kedah turut menyokong pendapatan kumpulan berkenaan sepanjang tahun kewangan tersebut.
"FY26 juga merupakan tahun yang bersejarah berikutan penyenaraian rasminya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 12 Februari 2026 dan berjaya meraih modal kasar sebanyak RM25.32 juta," tambahnya.
Bagi prospek masa hadapan, kumpulan kekal optimis dengan buku tempahan terkumpul yang berjumlah RM151.87 juta setakat 31 Mac 2026, dan akan diiktiraf secara progresif dalam tempoh dua tahun.
Pada masa sama, Kee Ming juga sedang menyasarkan penyertaan aktif dalam lebih banyak tender projek baharu, termasuk kontrak infrastruktur awam kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Kumpulan berkenaan turut membayangkan hasrat untuk dapat membida banyak kerja kemudahan tenaga bersih seperti fasiliti saling hubungan ladang solar dalam masa terdekat. - DagangNews.com






