Kisah Kanakuri ambil masa 54 tahun habiskan maraton

1 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kisah Kanakuri ambil masa  54 tahun habiskan maraton

BAYANGKAN, lelaki itu memulakan maraton ketika berusia 20 tahun, meninggalkan perlumbaan di pertengahan jalan kerana keletihan, sebelum kembali ke garisan penamat 54 tahun kemudian.

Itulah kisah luar biasa buat seorang pelari Olimpik dari Jepun, Shizo Kanakuri yang nama dan ceritanya menjadi antara sejarah unik dalam sukan dunia.

Bukan kerana dia memenangi pingat, tetapi satu maraton yang mengambil masa lebih dari separuh abad untuk diselesaikan.

Pelari jarak jauh dari Jepun itu memulakan maraton Olimpik di Stockholm, Sweden pada tahun 1912, tetapi tidak berjaya sampai ke garisan penamat pada hari perlumbaan.

Lebih menarik, Kanakuri kembali ke Stockholm selepas 54 tahun untuk menyambung perlumbaan yang tertangguh itu, sekali gus mencatat perjalanan maraton lebih dari lima dekad.

Sejarawan sukan Jepun, Kazuo Sayama yang mengkaji kehidupan Kanakuri pernah berkongsi dalam temu bual bersama The Washington Post bahawa dia menggambarkan kepentingan lelaki itu buat sejarah olahraga Jepun.

“Kanakuri adalah pelari yang sangat penting di Jepun, dan menjadikan dia terkenal kerana kisah kehilangannya ketika perlumbaan di Stockholm.

“Kisahnya turut memperlihatkan bahawa kegagalan dalam perlumbaan tidak semestinya menjadi penamat kepada perjalanan seseorang dan garisan penamat itu mungkin datang lewat,” katanya.

Dilahirkan pada 20 Ogos 1891 di Kumamoto, Kanakuri membesar dalam keluarga sederhana yang menjalankan perniagaan sake.

Ketika bersekolah, beliau perlu berjalan atau berlari dalam jarak jauh setiap hari.

Pengalaman tersebut kemudian menjadi asas minatnya terhadap larian jarak jauh.

Image from: Kisah Kanakuri ambil masa  54 tahun habiskan maraton
Kanakuri sewaktu memulakan larian maraton Olimpik Stockholm, Sweden pada tahun 1912.

Ketika menuntut di Tokyo Higher Normal School, bakatnya mula mendapat perhatian, sebelum menerima bimbingan daripada Kano Jigoro, tokoh yang turut memainkan peranan penting dalam perkembangan sukan Jepun.

Pada tahun 1911, Kanakuri menyertai pemilihan domestik untuk Olimpik Stockholm 1912. Beliau dilaporkan mencatat masa sekitar dua jam 32 minit bagi perlumbaan sejauh kira-kira 40 kilometer. Ketika itu, ia dianggap sebagai rekod dunia.

Bagaimanapun, jarak maraton pada zaman tersebut belum distandardkan kepada 41.8420 kilometer seperti hari ini.

Kejayaan itu membolehkannya dipilih bersama pelari pecut, Yahiko Mishima sebagai dua wakil Jepun ke Olimpik yang merupakan penyertaan pertama negara tersebut dalam temasya berkenaan.

Perjalanan menuju Stockholm bukan mudah. Kanakuri mengambil masa kira-kira 18 hari untuk sampai ke Sweden dengan menaiki kapal dan kereta api merentasi Siberia.

Setibanya di Stockholm, dia berdepan masalah menyesuaikan diri dengan makanan, tidur dan keadaan persekitaran.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila perlumbaan berlangsung dalam cuaca panas. Daripada 68 pelari yang memulakan maraton 1912, hanya 36 berjaya menamatkan perlumbaan.

Dalam laporan berita antarabangsa, Kanakuri tidak mampu meneruskan larian selepas kira-kira 30 kilometer.

Dengan keadaan keletihan dan kepanasan yang dialami, dia berhenti di sebuah rumah berhampiran laluan perlumbaan. Keluarga Petra yang tinggal di situ membantu menyediakan minuman, makanan dan tempat untuk berehat.

Disebabkan rasa malu selepas gagal menamatkan perlumbaan, Kanakuri kembali ke Jepun tanpa memaklumkan kepada pihak penganjur Olimpik mengenai keadaannya.

Jadi, pihak berkuasa Sweden menganggapnya sebagai orang hilang. Kegagalan itu meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

Dalam catatannya, Kanakuri menulis bahawa hatinya dipenuhi penyesalan dan menyifatkan perlumbaan tersebut sebagai antara hari paling penting dalam hidupnya.

Image from: Kisah Kanakuri ambil masa  54 tahun habiskan maraton
KANAKURI menghabiskan maraton Olimpik yang disertainya ketika berusia 75 tahun.

“Larian ini merupakan satu perjalanan yang panjang. Dalam perjalanan itu, saya berkahwin, mempunyai enam anak dan 10 cucu. Kegagalan mengajar kejayaan, dan saya bertekad untuk memperbaiki kemahiran maraton dan meningkatkan kemampuan pelari Jepun,” tulisnya ringkas.

Kata-kata tersebut menjadi penutup unik kepada sebuah perlumbaan yang bermula ketika beliau masih muda dan berakhir sewaktu sudah melalui sebahagian besar kehidupan.

Selepas kembali ke Jepun, Kanakuri tidak meninggalkan dunia olahraga. Sebaliknya, beliau menjadi antara tokoh penting dalam perkembangan larian jarak jauh di Jepun.

Beliau terlibat dalam pendidikan, melatih pelari dan menggalakkan penyertaan masyarakat dalam olahraga.

Namanya turut dikaitkan dengan perkembangan ekiden, perlumbaan lari berganti-ganti jarak jauh sangat penting dalam budaya sukan Jepun, termasuk perlumbaan Hakone Ekiden yang bermula pada 1920.

Kisah panjang itu akhirnya mendapat penutup yang tidak pernah dijangka. Pada 1967, Kanakuri yang ketika itu berusia sekitar 75 tahun dijemput kembali ke Stockholm oleh Sveriges Television untuk menyempurnakan perlumbaan ditinggalkannya.

Pada 20 Mac tahun tersebut, beliau kembali ke laluan perlumbaan dan akhirnya melintasi garisan penamat. Masa keseluruhan yang direkodkan secara simbolik adalah 54 tahun, lapan bulan, enam hari, lima jam, 32 minit dan 20.3 saat.

The post Kisah Kanakuri ambil masa 54 tahun habiskan maraton appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved