liza16/11/2026 - 17:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – KK Mart Retail Berhad, pengendali rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart memeterai perjanjian taja jamin dengan Maybank Investment Bank Berhad bagi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang cadangan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Menerusi IPO berkenaan, KK Mart merancang untuk menawarkan sehingga 840 juta saham biasa yang terdiri daripada tawaran untuk jualan sehingga 630 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 210 juta saham baharu.
Daripada jumlah keseluruhan saham itu, sehingga 735 juta saham atau 21% daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat akan diperuntukkan kepada pelabur institusi.
Ia merangkumi 437.5 juta saham sedia ada yang ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala sehingga 297.5 juta saham diperuntukkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih.
Bagi tawaran runcit pula, sebanyak 105 juta saham baharu atau 3% daripada modal saham terbitan diperbesarkan syarikat akan ditawarkan.
Daripada jumlah itu, 70 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi proses undian, termasuk 35 juta saham yang dikhaskan untuk pemohon Bumiputera. Baki 35 juta saham pula diperuntukkan kepada pengarah, pekerja serta individu yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Miliki 996 cawangan di seluruh negara
Pengarah Urusan Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Chai Kee Kan berkata, sejak lebih dua dekad lalu, syarikat telah memberi tumpuan kepada penyediaan barangan keperluan harian yang mudah diakses, selesa dan pada harga berpatutan.
Katanya, model operasi 24 jam serta rangkaian kedai yang terletak di lokasi strategik menjadikan KK Super Mart sebahagian daripada keperluan harian masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Maybank IB atas sokongan dan kepercayaan sepanjang proses persiapan penyenaraian syarikat itu.
Menurutnya, platform pasaran modal dijangka membolehkan KK Mart mempercepatkan pengembangan perniagaan, memperluaskan rangkaian kedai di seluruh negara serta mendekatkan perkhidmatannya kepada lebih ramai pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank, Michael Oh-Lau pula berkata, KK Mart merupakan antara kisah kejayaan syarikat tempatan yang berkembang daripada sebuah kedai kepada jenama yang dikenali dalam sektor peruncitan kedai serbaneka dengan kehadiran di seluruh negara.
Beliau berkata, cadangan penyenaraian itu akan membolehkan KK Mart membuat persediaan bagi fasa pertumbuhan seterusnya.
Setakat 28 Februari 2026, KK Mart mengendalikan 996 cawangan di seluruh Malaysia menerusi rangkaian kedai serbaneka 24 jam KK Super Mart yang menjual pelbagai barangan keperluan harian.
Selain rangkaian kedai fizikal, kumpulan itu turut menawarkan jualan dalam talian menerusi laman web sendiri serta perkhidmatan penghantaran melalui platform agregator pihak ketiga. - DagangNews.com






