KKEC UiTM: Dua peserta masih dirawat di ICU

LocalHealth & Fitness
6 Sep 2026 • 4:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KKEC UiTM: Dua peserta masih dirawat di ICU
Peserta yang mengikuti program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dekat Jengka, Maran. Foto media sosial

MARAN - Dua peserta Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, kedua-dua mangsa yang mengalami penurunan oksigen bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurutnya, enam lagi peserta yang dirawat di Hospital Jengka juga stabil namun masih dalam perhatian.

"Seorang lagi peserta, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang tenat disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan wad ICU HoSHAS jam 2.08 petang pada Sabtu.

"Proses bedah siasat telah dijalankan dan masih menunggu keputusan laporan siasatan makmal bagi mengenal pasti punca kematian," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri

Peserta KKEC UiTM meninggal dunia: Jenazah Fadhlan Fakhry selamat dikebumikan

Kim Wai berkata, pihaknya dimaklumkan, program tersebut melibatkan 521 peserta dari seluruh cawangan UiTM kecuali Sarawak dengan UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka di sini sebagai tuan rumah.

Katanya, acara dianjurkan melibatkan larian lapan kilometer (km), berbasikal 20km dan mara lasak, 10 km.

"Semasa berlangsung acara mara lasak, sembilan peserta termasuk empat wanita mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan.

"Tiga peserta dirujuk ke HoSHAS dan dirawat di wad ICU sebelum salah seorang disahkan meninggal dunia," ujarnya.

Menurutnya lagi, kes itu masih dalam siasatan justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih khususnya melalui media sosial sehingga menganggu siasatan.

"Siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan.

"Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa," ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved