
Kota Kinabalu: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.56 bilion menerusi perancangan dan rundingan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi 53 projek pembangunan kesihatan di seluruh Sabah.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu meliputi 32 projek fizikal membabitkan pembinaan hospital dan klinik serta 21 projek bukan fizikal yang memberi tumpuan khusus kepada pendigitalan ICT dan perolehan peralatan perubatan terkini.
Beliau berkata projek berkenaan termasuk Pusat Jantung Sabah, Klinik Kesihatan Sapulut Nabawan dan blok baharu Hospital Tawau.
“Cabaran terbesar yang dihadapi perkhidmatan kesihatan di Sabah bukan semata-mata angka di atas kertas tetapi faktor geografi dan logistik,” katanya ketika berucap pada Program Bual Bicara Bersama Menteri Kesihatan bertajuk “Perkhidmatan Kesihatan di Sabah: Realiti Semasa, Cabaran dan Harapan Masa Hadapan” anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Sabah di Wisma Wanita, di sini pada Jumaat.
Dr Dzulkefly berkata dari 2023 hingga 2025, menerusi inisiatif Bitara Madani, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyiapkan pembinaan semula dan naik taraf 132 klinik daif di Sabah dengan peruntukan RM75.5 juta.
Katanya, bangunan kayu lama dan tidak selamat telah diubah menjadi kemudahan konkrit yang moden dan selamat termasuk Klinik Kesihatan Kemabong, Klinik Kesihatan Sook dan Klinik Kampung Takuli.
“Bagi 2026, kita merancang melaksanakan baki 46 klinik daif secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, kerajaan menetapkan peningkatan tahunan sebanyak lima peratus bagi peruntukan kesihatan Sabah, dengan peruntukan kesihatan negeri itu dijangka mencecah RM4 bilion menjelang 2030.
Dr Dzulkefly berkata KKM turut meluluskan peruntukan segera berjumlah RM4.3 juta susulan lawatan kerja baru-baru ini ke hospital daerah di Sabah.
Peruntukan itu merangkumi RM988,000 untuk Hospital Tambunan, RM1.279 juta untuk Hospital Ranau serta empat ambulans baharu dan RM2.01 juta bagi menaik taraf Unit Pesakit Luar Hospital Kota Belud.
Bagi mengatasi cabaran geografi di kawasan luar bandar, beliau berkata KKM juga akan melancarkan projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron di Tawau pada suku keempat 2026, bertujuan menghantar ubat kritikal ke kawasan pedalaman dengan lebih cepat.
Katanya, usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan turut dilaksanakan menerusi pendigitalan penjagaan kesihatan.
Beliau berkata, 81 peratus pesakit kini menjalani saringan dan menerima rawatan dalam tempoh kurang sejam, manakala 63 peratus mengalami tempoh menunggu kurang daripada 30 minit.
Di Sabah, Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) sedang diperluaskan kepada 36 klinik kesihatan manakala kesemua 44 klinik pergigian primer di negeri ini kini menggunakan sepenuhnya rekod pergigian digital menerusi Sistem Maklumat Pergigian.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi memacu pelaksanaan menyeluruh Rekod Perubatan Elektronik (EMR) membabitkan 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan KKM.
Pelaksanaan itu, katanya, dijangka memendekkan tempoh menunggu, meningkatkan pengalaman pesakit, mengurangkan kesesakan di fasiliti kesihatan, memperbaiki keadaan kerja dan meningkatkan produktiviti anggota kesihatan.
Dr Dzulkefly berkata lebih 29 juta janji temu melibatkan 18 jenis perkhidmatan telah diuruskan menerusi aplikasi MySejahtera.
“Kecekapan sistem ini telah mengembalikan masa produktif kepada orang awam yang dianggarkan hampir RM136 juta dalam tempoh tiga tahun, manakala inisiatif preskripsi digital menjimatkan lebih RM7 juta kos percetakan kertas Kerajaan,” katanya.
Beliau berkata sasaran KKM adalah untuk keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan negara termasuk klinik desa, klinik kesihatan, hospital daerah dan sektor swasta, didigitalkan sepenuhnya menjelang 2030 bagi merealisasikan visi “Satu Individu, Satu Rekod”.
Menerusi kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), beliau berkata sasaran asal integrasi digital primer turut diawalkan daripada 2045 kepada suku pertama 2027.
Di Sabah, perkhidmatan e-Kesihatan turut diintegrasikan dengan ekosistem Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) di bawah MCMC bagi membolehkan penduduk di kawasan luar bandar dan pulau mendapatkan rundingan secara maya atau perkhidmatan telekesihatan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
Mengenai sumber manusia, Dr Dzulkefly berkata Sabah kini disokong oleh 2,546 doktor, 549 pakar dan 10,164 jururawat, namun kadar pengisian jawatan negeri itu hanya 88.51 peratus, dengan 3,557 kekosongan.
Katanya, isu itu menjadi lebih mencabar kerana Sabah sering dianggap sebagai “tempat latihan” atau destinasi latihan sementara sebelum anggota memohon pertukaran keluar dari negeri berkenaan.
“Pada 2025, hanya 12 pakar perubatan melapor diri untuk bertugas di Sabah, manakala 57 pakar berpindah keluar.
“Bagi pegawai farmasi, seramai 174 orang masuk, tetapi 115 memohon untuk keluar dari negeri itu pada tahun yang sama,” katanya.
Beliau berkata kitaran latihan, berkhidmat dan kemudian kehilangan pegawai berpengalaman menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan di negeri itu.
Sebagai langkah menangani isu itu, Pasukan Petugas Pengurusan Perjawatan KKM-Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ditubuhkan pada April 2026, diikuti Jawatankuasa Bersama KKM-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Jun 2026 bagi memetakan secara menyeluruh bekalan dan permintaan tenaga kerja perubatan.
Dr Dzulkefly berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), gaji penjawat awam termasuk gaji permulaan jururawat Gred U5 dinaikkan sebanyak 15 peratus mulai Januari 2026.
Elaun Tugas Atas Panggilan (Etap) turut dinaikkan sehingga 43 peratus iaitu semakan pertama dalam tempoh 14 tahun, manakala elaun locum diseragamkan kepada RM80 sejam dan elaun pembedahan elektif di luar waktu bekerja biasa diperkenalkan.
Tuntutan penuh elaun pertukaran bagi pegawai yang status mereka berubah daripada kontrak kepada tetap turut diluluskan secara rasmi.
Pada masa sama, Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal, Insentif Pos Basik, Insentif Pedalaman serta insentif khas bagi merawat pesakit psikiatri, batuk kering (TB) dan kusta dikekalkan sepenuhnya.
Dr Dzulkefly berkata seramai 18,755 pegawai perubatan, farmasi dan pergigian telah dilantik ke jawatan tetap sejak 2023, manakala 4,328 jururawat dilantik secara tetap antara 2023 dan 2025, dengan 935 lagi dilantik tahun ini.
Bagi 2026 sahaja, katanya, sasaran awal menyerap 4,500 doktor sudah dicapai dengan 4,691 tawaran pelantikan tetap dikeluarkan manakala sistem doktor kontrak yang diwarisi akan dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2028.
KKM juga mengekalkan waktu bekerja 42 jam seminggu bagi pekerja syif bagi menjaga kebajikan 82,637 anggota barisan hadapan, manakala Sistem Pertukaran Suka Sama Suka (P3S) bagi jururawat diperluaskan kepada skim perkhidmatan lain mulai 2026.
Dalam usaha memperkukuh kapasiti kepakaran, penajaan bagi Laluan Selari telah ditambah 11 kali ganda kepada 600 tempat setahun meliputi 14 bidang kepakaran, berbanding 52 tempat pada 2022.
Ia disokong Bayaran Insentif Pra-Warta (BIPPW) antara RM1,900 dan RM3,100 sebulan sepanjang tempoh Pengalaman Kerja Diselia (SWE).
Bagi Sabah secara khusus, algoritma e-Placement 2.0 kini mewajibkan keutamaan diberikan kepada penempatan pegawai tetap di kawasan luar bandar.
Menerusi MA63, sebanyak 607 jawatan baharu termasuk jawatan pakar telah diwujudkan khusus untuk Sabah.
Sementara itu, menerusi autonomi perjawatan JPA, graduan kelahiran Sabah daripada Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) kini boleh diserap terus ke jawatan tetap sebaik sahaja mereka tamat pengajian dan berdaftar, tanpa perlu menunggu proses birokrasi.
Mengenai pembiayaan kesihatan, Dr Dzulkefly berkata inflasi tuntutan perubatan dalam sektor swasta meningkat kepada 15 peratus, melebihi purata Asia Pasifik dan global.
Beliau berkata caj bekalan dan perkhidmatan yang tidak terkawal oleh hospital swasta menyumbang lebih 70 peratus daripada komponen bil.
Peningkatan kos dan kenaikan premium yang tidak terkawal turut menyebabkan lebih 340,000 pemegang polisi insurans dilaporkan terpaksa menyerahkan polisi mereka.
“Ke manakah ratusan ribu orang ini akan pergi apabila mereka jatuh sakit? Mereka akan kembali bergantung sepenuhnya kepada fasiliti awam, sekali gus membebankan kapasiti wira kesihatan kita yang hanya satu peratus,” katanya.
Susulan itu, KKM mengamalkan pendekatan seluruh negara bersama Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia menerusi kerangka Reset.
Dr Dzulkefly berkata KKM akan melancarkan inisiatif MediAsas, iaitu pelan insurans perubatan atau takaful mampu milik khusus untuk kumpulan M40 yang telah tidak mampu mendapatkan perlindungan di pasaran.
Bagi mengawal kos dalam sektor swasta, KKM juga beralih kepada sistem pembayaran Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG), dengan kos rawatan ditentukan berdasarkan nilai dan keberkesanan di bawah Penjagaan Kesihatan Berasaskan Nilai, dan bukannya semata-mata berdasarkan jumlah ujian atau ubat yang digunakan.
Dr Dzulkefly berkata kejayaan sistem penjagaan kesihatan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada KKM kerana kesihatan rakyat merupakan tanggungjawab bersama antara Kerajaan dan sektor berkaitan.
Katanya, pegawai daerah dan jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR), misalnya, memainkan peranan dalam memastikan jalan raya selamat supaya pesakit dapat sampai ke zon kecemasan dengan segera, manakala agensi pembekal perlu memastikan kemudahan bekalan air bersih diurus secara telus bagi mencegah penyakit bawaan air.
MCMC, katanya, turut perlu memastikan capaian internet dinaik taraf supaya sistem digital berasaskan awan seperti CCMS boleh diakses oleh anggota kesihatan di klinik desa luar bandar.
“Satu peratus anggota KKM tidak boleh terus memikul tanggungjawab terhadap kesihatan dan nyawa 99 peratus rakyat tanpa sokongan semua yang berada di dewan ini.
“Kekuatan sebenar sistem penjagaan kesihatan tidak diukur berdasarkan sejauh mana ia memberi perkhidmatan kepada golongan paling kuat, tetapi berdasarkan sejauh mana ia melindungi golongan paling lemah dan terdedah,” katanya.






