
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus menambah baik laluan motosikal dan mengenal pasti lokasi black spot (titik hitam) yang kerap berlaku kemalangan sebagai langkah mengurangkan kadar kemalangan serta jumlah mangsa khususnya dalam kalangan penunggang motosikal.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, lokasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan kriteria tertentu termasuk kekerapan kemalangan dan jumlah kematian yang direkodkan dalam radius serta tempoh tertentu.
Beliau berkata, usaha berkenaan digerakkan KKR bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas mengambil kira statistik yang merekodkan penunggang motosikal sebagai antara kumpulan yang paling terdedah kepada kemalangan jalan raya.
Katanya, antara langkah yang dilaksanakan adalah menaik taraf laluan motosikal yang terbiar atau tidak lagi selamat digunakan termasuk aspek pencahayaan dan sistem saliran.
“Memang ada tempat-tempat yang kita kata black spot. Di situ, kita akan kenal pasti dan buat rawatan (penambahbaikan).
“Kita menerima pembentangan mengenai statistik kes kemalangan dan mangsa kemalangan. Yang sangat tinggi adalah penunggang motosikal.
“Sebab itu, kebelakangan ini kita di KKR melalui LLM dan JKR menekankan bagaimana kita membantu mengurangkan kemalangan dan mangsa kemalangan dalam kalangan penunggang motosikal,” katanya dalam sidang akhbar pada Konvensyen Jurutera Kebangsaan (NEC) 2026 di Hotel Royale Chulan, di sini hari ini.
Menurut Alexander, kemalangan di sesuatu lokasi bukan sahaja berpunca daripada keadaan jalan, malah turut boleh dipengaruhi oleh faktor seperti reka bentuk selekoh dan persimpangan.
Katanya, KKR turut bekerjasama dengan JKR Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memperkukuh usaha mengenal pasti serta menangani lokasi black spot.
“Memang kemalangan selalunya berlaku kerana kecuaian pengguna dan pemandu, tetapi kita tidak menafikan keadaan jalan mungkin tidak selamat.
“Sebab itu kita ada black spot, di mana kemalangan kerap berlaku bukan hanya kerana keadaan jalan tidak baik, tetapi juga kerana selekoh, persimpangan dan sebagainya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Alexander berkata, KKR melalui LLM dan JKR turut melaksanakan penambahbaikan laluan motosikal yang terbiar atau tidak lagi selamat digunakan.
Katanya, antara aspek yang diberi perhatian ialah masalah banjir, pencahayaan yang tidak mencukupi akibat kerosakan serta vandalisme.
Beliau berkata, dalam tempoh dua hingga tiga bulan lalu, beliau turun padang melihat kemajuan projek membaik pulih laluan motosikal sepanjang hampir 20 kilometer.
Selepas kerja penambahbaikan dilaksanakan, laluan berkenaan kini lebih selamat dan menerima maklum balas positif daripada pengguna.
“Program ini bukan di situ saja, kita akan teruskan di tempat-tempat lain, tertakluk kepada kemampuan kewangan.
“Sebab itu dalam bajet akan datang, kami memohon peruntukan yang lebih besar untuk tujuan ini,” katanya.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan, negara menanggung kerugian akibat kemalangan maut di jalan raya yang mencecah RM30 bilion setahun dengan 66 peratus kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan statistik kemalangan maut tahun lalu, seramai 6,537 nyawa terkorban dalam nahas jalan raya dengan purata 18 kematian setiap hari. – UTUSAN
The post KKR tambah baik laluan motosikal, kenal pasti lokasi black spot appeared first on Utusan Malaysia.





