Peruntukan RM2 bilion penyelenggaraan digunakan sepenuhnya, KKR mohon tambahan

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 3:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Peruntukan RM2 bilion penyelenggaraan digunakan sepenuhnya, KKR mohon tambahan

BUTTERWORTH: Peruntukan kira-kira RM2 bilion yang diterima Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk penyelenggaraan jalan digunakan sepenuhnya, namun jumlah itu masih separuh daripada RM4 bilion yang diperlukan kementerian setiap tahun.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, sehubungan itu, KKR akan memohon tambahan peruntukan bagi memastikan kerja penyelenggaraan jalan dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh termasuk membaiki laluan yang rosak dan berisiko kepada pengguna.

“Kita belanja semua (RM2 bilion). Tak boleh simpan. Kita perlu RM4 bilion tetapi dapat cuma RM2 bilion. Permohonan tambahan (penyelenggaraan jalan) akan dibawa dalam pertemuan antara menteri dan pegawai kanan KKR dengan Menteri Kewangan II petang ini bagi membincangkan keperluan penyelenggaraan kementerian,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Kontraktor 2026, di sini hari ini.

Ahmad berkata, berikutan kekangan peruntukan, KKR perlu memberi keutamaan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas terutama tempat yang kerap berlaku kemalangan kerana kerja penyelenggaraan bukan hanya membabitkan penurapan semula jalan, sebaliknya turut merangkumi penyelenggaraan jalan serta sistem pencahayaan.

“Kita utamakan tempat-tempat ‘hotspot’, tempat-tempat yang selalu berlaku kemalangan untuk kita selenggara dengan baik sama ada dari segi penyelenggaraan turapan semula atau penyelenggaraan jalan dan pencahayaan,” katanya.

Menurutnya, KKR juga menerima 3,000 lampu baharu untuk lebuh raya menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) tahun ini walaupun jumlah itu masih belum memenuhi keseluruhan keperluan pencahayaan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, faktor keadaan jalan hanya menyumbang kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan punca kemalangan manakala kecuaian manusia menyumbang 81 peratus dan keadaan kenderaan tujuh peratus.

Katanya, faktor keadaan jalan termasuk permukaan jalan berlekuk yang memerlukan penurapan semula serta jalan yang gelap dan memerlukan pencahayaan.

“Jadi kebanyakannya masih lagi merujuk kepada kecuaian manusia, sikap manusia. Kenderaan itu biasalah, tak ada brek, tayar makan, tak periksa brek pad dan sebagainya,” katanya.

Mengenai kesesakan jalan raya yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit, Ahmad berkata, KKR turut menggunakan aplikasi MYJalan yang dibangunkan menerusi LLM bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat perjalanan dan keadaan trafik.

”MYJalan ini memberitahu jalan mana tidak sesak yang boleh dilalui, berapa kadar tol, di mana R&R, hubungan kecemasan dan navigasi yang paling dekat untuk sampai sesebuah tempat,” katanya.

Beliau berkata, MYJalan turut mempunyai akses masa nyata kepada ribuan CCTV milik LLM membolehkan pengguna melihat keadaan trafik di lebuh raya sebelum meneruskan perjalanan. – UTUSAN

The post Peruntukan RM2 bilion penyelenggaraan digunakan sepenuhnya, KKR mohon tambahan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved