Malaysia rugi RM30b setahun akibat kemalangan jalan raya

18 Aug 2026 • 6:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia rugi RM30b setahun akibat kemalangan jalan raya

PETALING JAYA: Malaysia menanggung kerugian akibat kemalangan maut di jalan raya yang mencecah RM30 bilion setahun dengan 66 peratus kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan statistik kemalangan maut tahun lalu, seramai 6,537 nyawa terkorban dalam nahas jalan raya dengan purata 18 kematian setiap hari.

Beliau berkata, lebih membimbangkan, walaupun kemalangan melibatkan motosikal hanyalah sekitar 14 peratus namun ia menyumbang kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan kematian di jalan raya.

“Ini bermakna hampir dua daripada setiap tiga kematian di jalan raya melibatkan penunggang atau pembonceng motosikal.

“Bagi saya, angka ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan secara biasa. Intervensi perlu lebih bersasar kepada kumpulan berisiko tinggi, di samping menangani faktor lain seperti keselamatan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, penguatkuasaan dan perancangan bandar secara lebih menyeluruh,” katanya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya Bilangan 1/2026 bagi meneliti perkembangan semasa keselamatan jalan raya serta memperkukuh penyelarasan tindakan merentas kementerian, agensi, industri, majikan dan masyarakat.

Ahmad Zahid berkata, mesyua­rat turut mengambil maklum bahawa kerugian sosioekonomi akibat kematian jalan raya pada 2025 dianggarkan sekitar RM30 bilion berdasarkan pendekatan Nilai Statistik Kehidupan.

“Ini membuktikan bahawa pelaburan dalam keselamatan jalan raya bukan sekadar per­belanjaan tetapi pelaburan untuk menyelamatkan nyawa, melin­dungi keluarga dan mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan komited dengan sasaran untuk mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, penyelarasan dasar, sumber dan akauntabiliti antara kementerian serta agensi mesti diperkukuh supaya setiap intervensi bukan sahaja dilaksanakan tetapi menghasilkan pengura­ngan kematian dan kecederaan serius yang dapat diukur.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga memaklumkan kerajaan turut memberi perhatian kepada keselamatan pekerja ketika perjalanan apabila data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menunjukkan kadar kematian akibat kemalangan perjalanan pekerja pada 2025 adalah 2.4 kali ganda lebih tinggi berban­ding kemalangan industri.

Dalam pada itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, angka RM30 bilion itu dinilai berdasarkan nilai ekonomi bagi perubahan risiko kematian termasuk terhadap kehilangan produktiviti dan pendapatan, kos rawatan serta kesan kepada keluarga dan masyarakat.

Katanya, lebih membimbangkan, berdasarkan kajian dilaksanakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), sekitar 80.6 peratus kemalangan berpunca daripada faktor manusia.

“Bagi saya, RM30 bilion bukan sekadar angka ekonomi. Ia menggambarkan besarnya kesan kemalangan jalan raya terhadap individu, keluarga dan masyarakat. Tetapi yang paling besar ialah kehilangan insan tersayang. Kita tidak boleh menganggap 18 kematian sehari sebagai perkara biasa,” katanya.

Katanya, Kementerian Kerja Raya mahu membina dan menyelenggara jalan yang lebih selamat, mengurangkan risiko dan kesilapan manusia.

 

The post Malaysia rugi RM30b setahun akibat kemalangan jalan raya appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved