amree07/10/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt — Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) menjelaskan punca kes kebakaran dikaitkan dengan anak syarikatnya di Indonesia, PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), sebenarnya dari luar kawasan konsesi dengan kesemua insiden berkenaan sudah dipadamkan.
Penjelasan tersebut dibuat susulan laporan berita berhubung titik panas yang dikesan dalam kawasan konsesi PT MJSP, selain menegaskan syarikat berkenaan mengamalkan dasar sifar pembakaran selaras sebagai anggota dalam 'Roundtable on Sustainable Palm Oil' (RSPO).
Menurut kenyataan kumpulan itu, PT MJSP kini mempunyai konsesi yang sepenuhnya matang dan tidak menjalankan aktiviti penanaman semula, manakala tiada pembakaran terbuka di ladang dibenarkan bagi tujuan penyediaan tanah atau aktiviti lain dalam operasi kumpulan.
"Keadaan cuaca yang amat kering pada tahun ini, dengan tempoh lebih 90 hari tanpa ada hujan akibat fenomena Super El Niño, dikhuatiri boleh meningkatkan risiko kebakaran serta kemungkinan kebakaran kembali berlaku tanpa dijangka," jelas KLK lagi.
Dalam menghadapi keadaan itu, pasukan kumpulan tersebut meningkatkan usaha di lapangan bagi memadam dan mengawal kebakaran sedia ada, termasuk mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kebakaran baharu serta kejadian kebakaran semula.
Usaha berkenaan tambahnya, turut meliputi kawasan luas di luar konsesi syarikat, dengan keadaan kering berpanjangan menyebabkan pasukannya turut berdepan risiko keletihan ketika memantau dan memerangi titik panas secara berterusan.
Artikel berkaitan: Jerebu: Greenpeace dakwa 20 entiti termasuk syarikat perladangan Malaysia terbabit dengan kebakaran hutan Indonesia

Bagi memastikan operasi pemadaman tidak terjejas, KLK meningkatkan bekalan air termasuk mendapatkan sumber dari luar di kawasan yang berdepan kekurangan bekalan, membina kolam takungan tambahan serta memasang struktur tiub bagi mengukuhkan stok jangka panjang.
"Selain itu, kumpulan ini menempatkan beberapa trak tangki air secara kekal di lokasi yang tertentu sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh keupayaan syarikat memadam kebakaran di kawasan operasi perladangan dan persekitaran estet," katanya.
Pada masa sama, kumpulan berkenaan mempertingkat pemantauan kebakaran dan titik panas sepanjang masa menerusi pasukan khusus yang mengendalikan pemantauan satelit serta dron, selain rondaan harian di ladang dan kawasan sekitarnya.
Ujar KLK, semua kejadian kebakaran turut didokumentasikan dengan lengkap dan dilaporkan terus kepada pihak berkuasa berkaitan di negara berkenaan untuk tindakan yang selanjutnya, jika perlu dapat dilaksanakan segera.
Situasi di lapangan namun kekal mencabar dan keutamaan segera kumpulan adalah memadam kebakaran serta mengelakkan kebakaran semula di dalam konsesi dan kawasan sekitar, selain memastikan keselamatan komuniti dan pasukannya terus terpelihara. - DagangNews.com




