Pengurangan premium KLSCAH kepada RM1,000 tidak munasabah – Kok Seong

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 11:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengurangan premium KLSCAH kepada RM1,000 tidak munasabah – Kok Seong
Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor. Gambar kecil: Kok Seong. Foto : Jabatan Warisan Negara

SHAH ALAM – Pengurangan kadar premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) daripada anggaran RM4.67 juta kepada hanya RM1,000 disifatkan sebagai tindakan mengejutkan dan tidak munasabah.

Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, keputusan itu bukan sahaja mengejutkan kerana dibuat dalam tempoh singkat selepas berlaku perubahan kepimpinan buat kali pertama dalam portfolio berkenaan, malah kadar pengurangan yang terlalu besar juga tidak masuk akal.

Beliau berkata, pengurangan itu tidak dilakukan sebelum adanya perubahan kepimpinan yang pernah menjadi kontroversi.

Menurutnya, pengurangan kadar premium daripada jutaan ringgit kepada hanya RM1,000 sukar diterima banyak pihak kerana ia membabitkan konsesi yang terlalu besar sehingga boleh menimbulkan kontroversi.

"Kadar premium berjumlah RM4.67 juta sebelum pengurangan itu sudah pasti mempunyai asas dan sebab yang konkrit.

"Dengan kata lain, kadar premium itu ada pewajarannya yang absah walaupun setelah KLSCAH diwartakan sebagai tapak warisan pada 2007," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada 14 November lalu, kerajaan meluluskan pembaharuan pajakan tanah KLSCAH selama 99 tahun dengan premium tanah ditetapkan pada kadar nominal RM1,000 berbanding anggaran premium terdahulu kira-kira RM4.67 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan mengumumkan keputusan itu pada majlis makan malam ulang tahun KLSCAH ke-103.

Menurut laporan Bernama, Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan penyerahan dan pemberian milik semula tanah itu bagi kegunaan institusi pada 14 September lalu.

Surat kelulusan rasmi bertarikh 1 Oktober pula menetapkan premium tanah RM1,000, manakala jumlah keseluruhan yang perlu dibayar berdasarkan notis tanah rasmi ialah RM5,011 termasuk sewa tanah tahun pertama dan caj pentadbiran.

Kadar sewa tanah tahunan ditetapkan sebanyak RM3,151.

Keputusan itu susulan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memberikan pertimbangan khas terhadap usaha memelihara bangunan bersejarah berkenaan selepas mengunjungi dewan itu sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 17 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Kok Seong yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara berkata, pengenaan premium hanya RM1,000 itu merupakan satu tindakan penolakan, penghinaan dan pengkhianatan kepada portfolio berkenaan yang wujud sejak 1979, khususnya kepada barisan kepimpinan terdahulu.

Kok Seong berkata, kenyataan bahawa kadar premium turut dikurangkan bagi sebilangan tapak warisan lain di Kuala Lumpur tidak lain dan tidak bukan bertujuan menepis tindak balas negatif yang bakal timbul berhubung pengurangan terlalu besar dan tidak munasabah kepada KLSCAH.

Menurutnya, tindakan pengurangan itu sangat tidak sensitif dan bukan sahaja akan mencetuskan polemik sengit, malah turut menjejaskan keharmonian sosial negara.

Selain mempertikaikan keputusan pengurangan premium itu, beliau turut membangkitkan isu penggunaan bahasa dalam majlis pengumuman rasmi berkenaan.

"Majlis pengumumannya yang pasti adalah upacara rasmi portfolio itu, malah majlis rasmi negara, didapati membelakangkan identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat," katanya.

Beliau berkata, majlis berkenaan sepatutnya wajib dijalankan menggunakan bahasa rasmi, namun bahasa Melayu didapati tidak diutamakan.

"Perkara sebegini bukan sahaja berulang walaupun selalu ditegur, juga langsung diendahkan oleh agensi kerajaan sendiri," katanya.

Kok Seong berkata, keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana bahasa Melayu selaku bahasa negara yang sekali gus mendukung peranan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tidak dipedulikan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved