Kokain RM3.1 juta dalam kasut, lima rakyat Malaysia ditahan

13 Oct 2026 • 10:44 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kokain RM3.1 juta dalam kasut, lima rakyat Malaysia ditahan

SHAH ALAM, 13 OKT: Lima rakyat Malaysia terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun, Sabtu lalu selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen (RM3.1 juta) yang disembunyikan di bawah pelapik kasut.

Kumpulan itu dipercayai membawa dadah berkenaan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebelum kegiatan mereka terbongkar ketika pemeriksaan kastam sejurus tiba di Jepun.

Menurut laporan Fuji News Network (FNN), kegiatan penyeludupan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesyaki seorang daripada suspek yang memakai kasut bertapak terlalu tebal.

Pemeriksaan awal menemukan kokain di bawah pelapik kasut dua suspek sebelum pegawai kastam mengesan tiga lagi individu yang dipercayai datang bersama mereka.

Tokyo Reporter yang memetik Nippon News Network (NNN) melaporkan, ketiga-tiga individu berkenaan turut menyembunyikan kokain menggunakan kaedah sama.

Menurut TBS News DIG, setiap suspek menyembunyikan kira-kira satu kilogram kokain, masing-masing 500 gram di bawah pelapik kasut kiri dan kanan, lapor Berita Harian.

Seorang suspek mendakwa menerima tawaran upah RM8,000 seorang menerusi aplikasi Telegram untuk membawa dadah ke luar negara.

Suspek itu turut mendakwa diberikan sepasang kasut untuk digunakan bagi menyembunyikan dadah berkenaan.

Sementara itu, laporan NHK menyebut empat suspek mengaku terhadap dakwaan ketika disoal siasat, manakala seorang wanita berusia 25 tahun menafikannya dengan mendakwa tidak mengetahui bungkusan yang dibawanya mengandungi kokain.

Polis Metropolitan Tokyo kini menyiasat kemungkinan kumpulan itu direkrut sindiket jenayah berpangkalan di Malaysia bagi menjalankan kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved