Komando Muda Tamat Latihan Enggan Berganjak, Setia Menunggu Hingga Keluarga Akhirnya Tiba

15 Jul 2026 • 4:27 PM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Komando Muda Tamat Latihan Enggan Berganjak, Setia Menunggu Hingga Keluarga Akhirnya Tiba

KUALA LUMPUR – Sebuah video memaparkan detik menyentuh hati seorang anggota komando muda yang dilihat terus berdiri tegak selepas tamat latihan mencuri perhatian ramai di media sosial.

Video yang dimuat naik di TikTok oleh akaun @NenekKebayan itu menunjukkan anggota berkenaan tidak berganjak walaupun kebanyakan rakan lain sudah pun bertemu dan berpelukan dengan ahli keluarga masing-masing.

Perkongsian Di Threads Tambah Sentuh Hati

Video itu kemudian dikongsi semula oleh pengguna Threads, @the_alims, yang menceritakan pemerhatiannya terhadap situasi berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menurut perkongsian tersebut, anggota itu dipercayai sedang mencari-cari ahli keluarganya sebelum individu yang ditunggu akhirnya muncul di lokasi.

“Alaa sedihnye.. ingatkan family dia tak datang.. tinggal dia sorang.. nampak pandangan dia mencari-cari family.. akhirnya yg ditunggu-tunggu muncul jugak. Happy ending yeah,” tulisnya.

Dalam hantaran susulan, pengguna sama turut mengakui berasa sebak melihat situasi berkenaan.

“Sedih la kalo melibatkan keluarga ni.. hati tisu.”

Beliau turut mendakwa beberapa individu sempat menghampiri anggota terbabit dan dipercayai memberi kata-kata semangat sementara menunggu keluarganya tiba.

Netizen Turut Kongsi Pengalaman

Di ruangan komen TikTok dan Threads, ramai netizen mengakui tersentuh dengan momen berkenaan, malah ada yang mengaitkannya dengan pengalaman sendiri ketika menghadiri majlis tamat latihan anggota tentera.

Seorang pengguna berkata, “Sedih tengok dia berdiri sorang. Nasib baik orang yang ditunggu akhirnya sampai.”

Seorang lagi berkongsi pengalaman apabila bapanya yang juga seorang anggota tentera pernah melalui situasi hampir sama.

“Abah saya pun dulu askar. Lepas perbarisan dia pun macam tu, berdiri tunggu kami sampai. Bila jumpa terus peluk.”

Ada juga yang menjelaskan bahawa ahli keluarga kadangkala terlewat memasuki kawasan majlis kerana kesesakan lalu lintas atau proses pemeriksaan keselamatan, menyebabkan ada anggota terpaksa menunggu lebih lama berbanding rakan-rakan lain.

Tidak kurang juga yang mengakui hampir menitiskan air mata kerana menyangka tiada ahli keluarga akan hadir sebelum video itu berakhir dengan pelukan yang mengundang rasa lega.

Penantian Berakhir Dengan Pelukan

Pengakhiran video bagaimanapun mengundang rasa syukur apabila seorang wanita akhirnya tampil memeluk erat anggota komando berkenaan selepas penantian yang mencetuskan pelbagai andaian dalam kalangan netizen.

Momen penuh emosi itu terus meraih perhatian di pelbagai platform media sosial dengan ramai menyifatkannya sebagai antara detik paling menyentuh hati sepanjang majlis penamatan latihan komando.

Rata-rata netizen turut mengucapkan tahniah kepada semua komando muda yang berjaya menamatkan latihan mencabar itu, selain mendoakan mereka sentiasa dipermudahkan dalam menjalankan amanah menjaga keselamatan negara. – The Malaysian Update

The post Komando Muda Tamat Latihan Enggan Berganjak, Setia Menunggu Hingga Keluarga Akhirnya Tiba appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved