Komarkcorp rancang pindahkan operasi ke Johor selepas jual kilang dan pejabat berharga RM40 juta di Selangor

LocalBusiness & Finance
13 Nov 2026 • 3:01 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Komarkcorp rancang pindahkan operasi ke Johor selepas jual kilang dan pejabat berharga RM40 juta di Selangor Image from: Komarkcorp rancang pindahkan operasi ke Johor selepas jual kilang dan pejabat berharga RM40 juta di Selangor liza13/11/2026 - 15:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Nov – Komarkcorp Berhad merancang untuk memindahkan operasi kilang dan gudangnya di Cheras, Selangor ke kilang sedia ada di Plentong, Johor yang kini digunakan untuk aktiviti pengeluaran label.

 

Penjualan kilang dan bangunan pejabat di Taman Cheras Jaya, Selangor pada harga RM40 juta adalah kerana premis berkenaan lebih besar daripada keperluan operasi semasa Kumpulan yang menyebabkan sebahagian ruang pengeluaran, penyimpanan dan pejabat tidak digunakan sepenuhnya.

 

Menurut pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 13 November 2026, Komarkcorp berkata premis perindustrian yang terdiri daripada kilang dua tingkat bersama bangunan pejabat tiga tingkat milik anak syarikatnya iaitu Komark International (M) Sdn Bhd akan dijual kepada QM Print Sdn Bhd secara tunai.

 

Kilang di Johor itu mempunyai keluasan binaan kira-kira 14,500 kaki persegi dan dijangka mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung penyatuan operasi pengeluaran serta penyimpanan kumpulan berdasarkan penilaian syarikat terhadap kapasiti dan keperluan semasanya.

 

Sementara itu, operasi pejabat kumpulan akan dikekalkan di Lembah Klang dengan sebuah premis bersesuaian dikenal pasti di Balakong, Selangor, bagi menempatkan operasi sedia ada.

 

Setakat tarikh pekeliling itu, kumpulan sedang memuktamadkan urusan penyewaan premis berkenaan dengan anggaran kos sewa tahunan kira-kira RM180,000.

 

Komarkcorp menyasarkan perpindahan keseluruhan operasi kilang, gudang dan pejabat selesai menjelang Disember 2026, sebelum penjualan hartanah di Cheras dimuktamadkan.

 

RM31.6 juta untuk modal kerja

Daripada hasil jualan RM40 juta itu, sebanyak RM31.6 juta akan diperuntukkan bagi keperluan modal kerja, manakala RM3.2 juta digunakan untuk membayar pinjaman bank dan baki RM5.2 juta bagi menampung anggaran kos berkaitan pelupusan termasuk cukai keuntungan harta tanah.

 

Daripada peruntukan modal kerja itu, RM24.6 juta akan digunakan untuk pembelian bahan mentah, pembayaran kepada pembekal, utiliti, sewa, kos pengangkutan serta penyelenggaraan mesin dan pejabat.

 

Sebanyak RM5.5 juta lagi diperuntukkan bagi pembayaran gaji pekerja, manakala RM1.5 juta digunakan untuk kos perpindahan operasi.

 

Pembayaran pinjaman bank itu dijangka mengurangkan jumlah pinjaman kumpulan kepada RM156,000 daripada RM3.36 juta berdasarkan pengiraan pro forma selepas pelupusan, selain menjana penjimatan faedah kira-kira RM158,000 setahun.

 

Pelupusan dijangka selesai Mac 2027

Bagaimanapun, cadangan penjualan itu dijangka menghasilkan kerugian bersih pro forma kira-kira RM3.82 juta selepas mengambil kira nilai buku bersih hartanah sebanyak RM38.62 juta dan anggaran perbelanjaan pelupusan RM5.2 juta.

 

Harga jualan RM40 juta itu bagaimanapun menyamai nilai pasaran hartanah berdasarkan penilaian bebas oleh Laurelcap Sdn Bhd pada 9 Julai 2026.

 

Komarkcorp berkata perpindahan operasi kilang dan gudang akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mengurangkan gangguan terhadap pengeluaran, khususnya ketika proses membuka, mengangkut, memasang dan menguji mesin serta peralatan.

 

Cadangan pelupusan itu memerlukan kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa yang dijadualkan berlangsung pada 3 Disember 2026, manakala penyempurnaan transaksi disasarkan pada suku pertama 2027.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved