liza06/11/2026 - 18:18 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov – Topmix Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Topmix Resources Sdn Bhd memeterai perjanjian pembelian tanah pegangan bebas seluas kira-kira 1.16 hektar di Taman Industri Sungai Penaga, Subang Jaya, Selangor pada harga RM16 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Topmix berkata Topmix Resources memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Quek Chye Hock, selaku wasi dan pemegang amanah harta pusaka Maryanne Kheng-Ying Khoo bagi pembelian tanah berkenaan pada 6 November 2026.
“Harga pembelian RM16 juta itu dipersetujui selepas rundingan antara kedua-dua pihak berdasarkan prinsip pembeli dan penjual yang bersetuju.
“Harga berkenaan mengambil kira penilaian pasaran oleh KGV International Property Consultants (M) Sdn Bhd yang menganggarkan nilai tanah itu sebanyak RM18.785 juta menerusi laporan penilaian bertarikh 23 Oktober 2026.
“Ini menjadikan harga pembelian tersebut lebih rendah kira-kira RM2.79 juta atau 14.83% berbanding nilai pasaran tersebut,” katanya.
Lembaga pengarah Topmix berpendapat harga pembelian itu adalah adil dan munasabah berdasarkan lokasi, keluasan, status pegangan tanah serta keadaan pasaran semasa.
Bakal dijadikan pejabat dan gudang kumpulan
Menurut Topmix, pengambilalihan itu merupakan pelaburan strategik sejajar dengan objektif pertumbuhan dan pengembangan perniagaan kumpulan dalam jangka panjang.
“Selepas pengambilalihan selesai, tanah berkenaan dirancang untuk digunakan sebagai premis pejabat dan gudang kumpulan bagi menyokong operasi perniagaan serta keperluan pengembangan pada masa depan.
“Tanah itu terletak dalam kawasan perindustrian sedia ada di Lembah Klang yang dizonkan untuk kegunaan industri di bawah rangka kerja perancangan tempatan Majlis Bandaraya Subang Jaya.
“Lokasinya turut mempunyai akses kepada beberapa lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE),” katanya.
Topmix berkata status pegangan bebas serta lokasi strategik tanah berkenaan dijangka memberikan fleksibiliti lebih besar kepada kumpulan dalam perancangan premis perniagaan, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap premis sewaan dalam jangka panjang.
Dibiayai menerusi pinjaman bank dan dana dalaman
Dari segi pembiayaan, harga pembelian RM16 juta itu akan dijelaskan sepenuhnya secara tunai menggunakan gabungan dana dalaman kumpulan dan pinjaman bank.
Bagi tujuan pengiraan kesan kewangan secara pro forma, Topmix mengandaikan 90% daripada harga pembelian atau RM14.4 juta dibiayai menerusi pinjaman bank, manakala baki RM1.6 juta menggunakan dana dalaman.
Kumpulan itu telah membayar deposit RM1.6 juta, bersamaan 10% daripada harga pembelian, manakala baki RM14.4 juta perlu dijelaskan dalam tempoh empat bulan daripada tarikh perjanjian jual beli.
Topmix turut memaklumkan bahawa baki harga pembelian yang tidak dijelaskan dalam tempoh berkenaan boleh diberikan lanjutan automatik selama sebulan, tertakluk kepada faedah lewat bayar sebanyak 8% setahun.
Kesan kepada keuntungan dan gearing kumpulan
Berdasarkan pengiraan pro forma, pengambilalihan itu dijangka mengurangkan keuntungan selepas cukai yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat daripada RM17.63 juta kepada RM16.95 juta.
Pendapatan sesaham kumpulan juga diunjurkan susut daripada 4.48 sen kepada 4.30 sen selepas mengambil kira anggaran perbelanjaan pengambilalihan RM144,000 serta kos pembiayaan RM540,000 setahun.
Sementara itu, pinjaman dan pembiayaan kumpulan dijangka meningkat daripada RM20.77 juta kepada RM35.17 juta, manakala nisbah gearing naik daripada 0.24 kali kepada 0.41 kali berdasarkan andaian pembiayaan tersebut.
Bagaimanapun, Topmix berkata komposisi akhir pembiayaan akan ditentukan selepas syarat kemudahan kewangan dimuktamadkan dengan institusi kewangan berkaitan. - DagangNews.com






