
KUANTAN - Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) berusia 21 tahun meninggal dunia selepas mengalami komplikasi berkaitan haba ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di UiTM Jengka, manakala lapan peserta lain turut dimasukkan ke hospital.
Mangsa, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, kira-kira tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, pemeriksaan awal mendapati peserta yang terjejas mengalami komplikasi berkaitan haba, termasuk kekurangan oksigen, ketika menyertai acara ketahanan berkenaan.
“Perkembangan lanjut akan diberikan selepas menerima laporan bedah siasat terhadap Fadhlan Fakhry,” katanya.
Fadhlan Fakhry yang mewakili UiTM Negeri Sembilan dalam pertandingan itu merupakan pelajar diploma tahun akhir di kampus UiTM Seremban.
Sementara itu, UiTM Pahang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan pihak universiti sedang menyediakan bantuan sewajarnya.
“Universiti menggerakkan bantuan menyeluruh bagi memastikan semua urusan berkaitan pengebumian, dokumentasi, pengangkutan dan sokongan emosi kepada keluarga dapat dikendalikan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan,” menurut kenyataan itu.
UiTM berkata KKEC merupakan program tahunan yang membabitkan peserta Komander Kesatria dari kampus UiTM di seluruh negara dan dijadual berlangsung dari 2 hingga 8 September di kampus cawangan UiTM Pahang di Jengka.
Menurutnya, program berkenaan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ketat.
“Semua peserta diwajibkan menjalani saringan kesihatan sebelum program bermula, selain pemeriksaan kesihatan secara berkala sebelum setiap acara.
“Beberapa peserta sebelum ini telah diminta menarik diri selepas gagal dalam saringan terakhir,” katanya.
UiTM memandang serius kejadian berkenaan dan akan terus memantau keadaan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan semua peserta terjamin.
Sebagai tindakan susulan dan sebahagian daripada komitmen terhadap keselamatan serta kesihatan pelajar, pihak penganjur memutuskan untuk membatalkan semua aktiviti luar KKEC yang dijadualkan hari ini.
KKEC merupakan pertandingan ketahanan fizikal dan mental tahunan yang dirangka bagi menguji kekuatan fizikal, kemahiran taktikal, ketangkasan serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar. - Getaran, 6 September 2026






