Kematian peserta KKEC: UiTM teliti semula keseluruhan penganjuran

6 Sep 2026 • 5:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kematian peserta KKEC: UiTM teliti semula keseluruhan penganjuran
UiTM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan berkaitan insiden membabitkan pelajar ketika menyertai KKEC 2026. Foto hiasan

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan berkaitan insiden membabitkan pelajar ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pihak universiti pada masa sama akan meneliti keseluruhan aspek penganjuran termasuk prosedur keselamatan, saringan kesihatan, pengurusan risiko serta tindakan kecemasan.

"UiTM memandang amat serius kejadian ini dan tidak akan mengambil ringan sebarang perkara yang melibatkan keselamatan serta kebajikan mahasiswa.

"Universiti akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam sebarang siasatan berkaitan, di samping meneliti keseluruhan aspek penganjuran termasuk prosedur keselamatan, saringan kesihatan, pengurusan risiko serta tindakan kecemasan," katanya dalam kenyataan media pada Ahad.

Menurut beliau, UiTM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memperbaiki dan memperkukuh setiap proses yang terlibat, selain menegaskan keselamatan, kesihatan dan kebajikan mahasiswa tidak boleh dikompromi.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang peserta KKEC UiTM meninggal dunia, lapan lagi tidak sedar diri

Dalam perkembangan sama, UiTM memaklumkan pertandingan yang melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan pada 6 September 2026 telah dibatalkan sebagai langkah segera susulan insiden berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang peserta meninggal dunia, manakala lapan lagi menerima rawatan di hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di UiTM dekat Jengka, Maran.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, keutamaan UiTM ketika ini adalah untuk terus memberikan sokongan kepada keluarga Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal serta memastikan kebajikan semua mahasiswa yang terlibat terpelihara.

"Keselamatan, kesihatan dan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan UiTM," katanya.

Beliau turut memohon semua pihak menghormati privasi dan perasaan keluarga Allahyarham serta keluarga mahasiswa yang masih menerima rawatan.

Katanya, semua pihak juga diminta mengelakkan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan kerana ia boleh menambahkan keresahan dan kesedihan keluarga terlibat.

"UiTM akan terus memantau perkembangan perkara ini secara dekat dan menyalurkan maklumat rasmi dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan yang telah disahkan," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved