‘Kompromi ada batasnya, kesabaran ada sempadannya’

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 1:33 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Kompromi ada batasnya, kesabaran ada sempadannya’

MELAKA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa supaya tidak terlalu berkompromi dalam kerjasama politik dengan UMNO sehingga mengorbankan maruah dan kepentingan parti sendiri.

Pembahas Selangor, Ahmad Danish Hairudin berkata, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan perlu berlandaskan rasa hormat antara satu sama lain dan tidak boleh hanya berlaku ketika berada dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, PKR menerima UMNO sebagai rakan demi menjamin kestabilan negara, namun persahabatan politik juga mempunyai batas yang perlu dihormati.

“Jangan di Putrajaya kita bersalaman, tetapi di medan politik tangan yang sama menikam kita.

“Kompromi ada batasnya! Kesabaran ada sempadannya! Maruah Keadilan bukan harga yang boleh dibayar untuk membeli kestabilan,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Tahunan PKR di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Ahmad Danish berkata, akar umbi tidak mahu PKR terus berdiam diri apabila berdepan tindakan yang didakwa menjejaskan parti ketika menghadapi pilihan raya.

Beliau secara khusus merujuk kepada pengalaman PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang menurutnya perlu menjadi pengajaran kepada kepimpinan parti.

“Jangan ketika berada dalam kerajaan, kita dipanggil sahabat tetapi apabila tiba pilihan raya, musuh kepada Keadilan pula dirangkul sebagai teman.

“Kita tidak meminta UMNO tunduk kepada Keadilan. Kita tidak meminta UMNO membubarkan identiti perjuangan mereka.

“Di Johor kita ditikam UMNO. Di Negeri Sembilan, kita dipancung UMNO dalam keadaan kita duduk serumah. Adakah kita masih mahu berdiam diri?” katanya.

Beliau berkata, akar umbi kini mahukan satu keputusan politik yang jelas daripada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan parti bagi menentukan hala tuju hubungan berkenaan.

Katanya, PKR tidak seharusnya terlalu sibuk menjaga kepentingan pihak lain sehingga mengabaikan perasaan ahli dan akar umbi sendiri.

“Hari ini akar umbi tidak mahu lagi hubungan politik dengan UMNO-Barisan Nasional dikaji tetapi memohon wewenang Presiden dan pimpinan Keadilan untuk membuat satu keputusan politik yang penting bagi membolehkan parti dan akar umbi bergerak ke hadapan.

“Kita terlalu sibuk menjaga hati orang lain sehingga kita terlupa menjaga hati keluarga sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Danish turut mencadangkan supaya PKR kembali menggunakan logo parti itu sendiri dalam pilihan raya akan datang, bermula dengan PRN Melaka.

“Sudah tiba masanya Keadilan menggunakan panji Keadilan dalam pilihan raya mendatang. Kita mulakan di bumi Melaka yang akan menghadapi PRN tidak lama lagi,” katanya. –UTUSAN

The post ‘Kompromi ada batasnya, kesabaran ada sempadannya’ appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved