Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa Intel akan menggunakan siri cip pemprosesan Panther Lake untuk komputer riba nipis dan ringan terbaru mereka untuk menguasakan pilihan konsol PC mudah-alih juga.
Siri cip pemprosesan tersebut nampaknya akan diperkenalkan tidak lama lagi, tetapi nampaknya nama model telah ditukar dari Intel Core Ultra G3 kepada Intel Arc G3 dan juga Intel Arc G3 Extreme untuk benar-benar membezakan penawaran cip komputer riba dan juga konsol permainan.

Menurut laporan VideoCardz, satu lagi butiran baru yang nampaknya akan berubah berbanding dengan laporan sebelum ini ialah nama cip grafik yang akan digunakan untuk menguasakan siri CPU tersebut telah ditukar kepada Intel Arc B390 dan Intel Arc B370, yang sedikit berlainan berbanding Intel Arc B380 dan Intel Arc B370 sebelum ini.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi jika penjenamaan ini juga akan memperlihatkan perbezaan khususnya apabila dibandingkan dengan cip Arc B380 yang digunakan pada siri cip Intel Core Ultra X9 dan X7 300. Tetapi apa yang dikatakan pasti ialah Intel akan memperlihatkan siri cip pemprosesan ini di acara Computex Taipei tidak lama lagi, dan hadir melalui rakan-rakan jenama seperti Acer, GPD dan khususnya MSI, yang merupakan jenama pertama menggunakan cip Meteor Lake dan Lunar Lake untuk menguasakan konsol MSI Claw mereka.






