Siri Insta360 Luna Dibangunkan Bersama Leica – Pesaing DJI Osmo Pocket Dengan Dwi‑Kamera

TechnologyDigital
20 Apr 2026 • 2:54 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Insta360 memperlihatkan barisan produk baharu mereka di NAB Show 2026 yang merangkumi siri Luna, bundle khas serta kemas kini perisian. Antara yang paling menonjol ialah Siri Luna yang dibangunkan bersama Leica. Siri ini hadir dalam dua model iaitu Luna Pro dengan reka bentuk satu lensa dan Luna Ultra dengan reka bentuk dwi‑lensa serta telefoto yang dipertingkatkan.

Image from: Siri Insta360 Luna Dibangunkan Bersama Leica – Pesaing DJI Osmo Pocket Dengan Dwi‑Kamera

Ia bagaimanapun bukanlah pelancaran penuh, sebaliknya hanya diperlihatkan sebagai demonstrasi di pameran teknologi. Siri Luna ini dipertontonkan di balik kotak kaca kabur sekali gus membolehkan pengunjung melihat bayangan pesaing baharu kepada DJI Osmo Pocket. Insta360 turut mengesahkan bahawa kedua‑dua kamera dibangunkan bersama Leica ini menggunakan sensor bersaiz 1 inci, aperture F1.8, panjang fokus boleh ubah serta sokongan rakaman warna 10‑bit.

Image from: Siri Insta360 Luna Dibangunkan Bersama Leica – Pesaing DJI Osmo Pocket Dengan Dwi‑Kamera

Walaupun Insta360 belum mendedahkan sepenuhnya teknologi baharunya, namun ia dilihat berpotensi menjadi pencabar utama kepada DJI dalam segmen kamera gimbal mudah alih yang sangat kompetitif. Tambahan pula, DJI baru sahaja mengumumkan Osmo Pocket 4 dan banyak spekulasi tertumpu kepada kemungkinan kemunculan versi dwi‑lensa dengan zum optikal. Walaupun perkara tersebut tidak menjadi kenyataan, DJI dijangka memperkenalkan versi Pro dengan dwi‑lensa yang bakal bersaing secara langsung dengan Luna Ultra kelak.

Image from: Siri Insta360 Luna Dibangunkan Bersama Leica – Pesaing DJI Osmo Pocket Dengan Dwi‑Kamera
DJI Osmo Pocket 4

Selain Siri Luna, Insta360 turut mempamerkan GO Ultra Tadej Pogačar Edition Bundle yang dilancarkan pada 15 April lalu. GO Ultra ialah kamera aksi kompak terbaharu mereka yang direka untuk digunakan bebas tangan dan mampu merakam rakaman POV yang lancar serta berkualiti profesional dalam pelbagai situasi. Edisi khas ini menampilkan kerjasama dengan pelumba basikal terkenal Tadej Pogačar sekali gus menekankan fokus Insta360 terhadap sukan ekstrem.

Image from: Siri Insta360 Luna Dibangunkan Bersama Leica – Pesaing DJI Osmo Pocket Dengan Dwi‑Kamera
Insta360 GO Ultra

Seterusnya, Insta360 turut mempamerkan Mic Pro iaitu mikrofon nirwayar baharu dengan reka bentuk menyeluruh untuk aliran kerja audio moden. Ia hadir dengan paparan E‑Ink boleh ubah suai yang membolehkan logo, nama atau elemen paparan ditambah sekali gus menjadikan mikrofon sebahagian daripada bingkai rakaman dan bukannya sesuatu yang perlu disembunyikan.

Melalui sistem Insta360 Direct Connect, Mic Pro ini boleh diintegrasikan terus dengan kamera Insta360 sekali gus mengurangkan kerumitan tetapan dan menghapuskan keperluan peranti tambahan dalam situasi pantas. Ia juga dilengkapi susunan tiga mikrofon bersama gabungan pemprosesan berasaskan AI serta pengurangan hingar berasaskan NPU bagi mengekalkan kejelasan audio yang konsisten dalam pelbagai persekitaran.

Image from: Siri Insta360 Luna Dibangunkan Bersama Leica – Pesaing DJI Osmo Pocket Dengan Dwi‑Kamera
Insta360 GO 3S

Selain itu, Insta360 turut memperkenalkan GO 3S Retro Bundle yang membawa pengalaman kamera filem klasik kepada kamera POV kompak. Bundle ini merangkumi Retro Viewfinder, penuras bergaya dan aksesori dengan sentuhan klasik,sambil mengekalkan ciri mudah alih serta fungsi utama GO 3S.

Diikuti dengan sokongan kemas kini untuk Flow 2 dan Flow 2 Pro yang menawarkan penambahbaikan utama seperti sokongan berbilang lensa untuk peranti Android seperti Samsung S26 Ultra, rakaman panorama 360 lebih pantas, Dual View Mode serta kawalan melalui Apple Watch pada iPhone.