Komputer Riba Googlebook Diperlihatkan Dengan Sistem Operasi Hibrid Android dan Chrome OS

TechnologyDigital
13 May 2026 • 9:25 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Google mengacah pelancaran komputer riba Googlebook pagi ini dengan ia bakal menggunakan sistem operasi baharu yang merupakan hibrid Android dan ChromeOS. Ini mengesahkan beberapa ura-ura yang mengatakan OS baharu ini sedang dibangunkan bagi memudahkan interaksi antara komputer dan telefon pintar ekosistem Google.

Image from: Komputer Riba Googlebook Diperlihatkan Dengan Sistem Operasi Hibrid Android dan Chrome OS

Tiada maklumat mengenai spesifikasi dikongsi tetapi ia disahkan mempunyai ciri baharu Magic Pointer. Apabila anak panah “pointer” digoyangkan, ia akan melancarkan ciri seakan Circle to Search. Pengguna Googlebook boleh melakukan carian untuk gambar terpampang pada skrin atau menjana imej kesemuanya menggunakan kuasa kecerdasan buatan (AI) Gemini.

Pengguna juga boleh menyuruh Gemini mencipta widget khusus untuk keperluan tertentu. Aplikasi Android pada telefon boleh dibuka terus pada Googlebook tanpa ia perlu dipasang terlebih dahulu menggunakan ciri Google Cast.

Image from: Komputer Riba Googlebook Diperlihatkan Dengan Sistem Operasi Hibrid Android dan Chrome OS

Papan kekunci penuh turut hadir dengan pengimbas cap jari pada butang kuasa. Turut dapat dilihat ialah dua port USB-C, satu bicu audio 3.5mm dan satu HDMI. Pada bahagian penutup diletakkan palang lampu bercahaya yang memberikan indikator pemilik Googlebook masih boleh menyeru Gemini tanpa perlu membuka penutup terlebih dahulu.

Image from: Komputer Riba Googlebook Diperlihatkan Dengan Sistem Operasi Hibrid Android dan Chrome OS

Googlebook akan dilancarkan pada musim luruh 2026 yang jatuh sekitar September dengan ASUS, Acer, Dell, Lenovo dan HP adalah lima pengeluar yang akan menawarkan model masing-masing. Ia kini hampir pasti akan diperlihatkan di acara Google I/O pada 19-20 Mei ini dan dilancarkan serentak dengan siri Pixel 11 nanti.