Konsert BamBam & (G)I-DLE Batal Bukan Sebab Tidak Lulus, Penganjur Yang Minta – Kementerian Komunikasi

LocalEntertainment
5 Jun 2025 • 6:30 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Bagi peminat K-Pop tempatan, bulan Jun sepatutnya menjadi detik yang dinanti. Dua nama besar dari Korea Selatan dijadualkan membuat persembahan di Kuala Lumpur dalam satu konsert berskala besar.

Namun suasana bertukar hampa apabila pihak penganjur mengumumkan pembatalan konsert secara mengejut. Perkongsian itu bukan sahaja menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan peminat, malah turut mengundang pelbagai spekulasi berkaitan punca sebenar.

Antara dakwaan yang tular termasuklah kononnya konsert itu dibatalkan oleh pihak berkuasa kerana gagal mendapat kelulusan persembahan artis luar negara. Sebagai tindakan susulan, Kementerian Komunikasi tampil menafikan dakwaan berkenaan.

Konsert Dibatalkan Atas Permintaan Penganjur, Bukan Kerajaan

Memetik laporan Berita Harian, Kementerian Komunikasi menafikan mengambil sebarang tindakan untuk membatalkan penganjuran konsert G(I)-DLE & BamBam Live in Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 14 Jun ini.

Sebaliknya, kementerian itu dalam kenyataannya menjelaskan bahawa pembatalan tersebut dibuat atas permintaan penganjur sendiri.

Keputusan itu juga katanya diambil selepas meneliti pelbagai aspek termasuk kepentingan semua pihak yang terlibat.

Mereka turut menegaskan bahawa dakwaan konsert tidak mendapat kelulusan Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) adalah tidak berasas. Ini kerana kelulusan prapermohonan telah pun diperoleh pada 28 April 2025.

Dalam kenyataan sama, kementerian memaklumkan bahawa penganjur perlu membuat persediaan menyeluruh termasuk mematuhi semua syarat kelulusan dan peraturan berkaitan sebelum mengadakan konsert seumpama ini.

Terdahulu, pihak penganjur Live Universe Entertainment juga memetik pematuhan terhadap undang-undang tempatan serta garis panduan budaya sebagai antara faktor pembatalan.

Mereka turut memberi jaminan akan memulangkan bayaran tiket sepenuhnya melalui platform Ticket2U.

(G)I-DLE & BamBam Sepatutnya Gegarkan Stadium Merdeka 14 Jun Ini

Konsert K-Pop Big 2 Super Concert ini pada awalnya dijangka menjadi acara mega yang bakal menghimpunkan peminat dua nama besar dari Korea Selatan. Ia dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 14 Jun.

Konsert ini bakal menampilkan kumpulan wanita popular (G)I-DLE bersama penyanyi dan penari serba boleh BamBam yang juga ahli kumpulan GOT7.

Menurut kenyataan Live Universe, mereka mahu memberikan pengalaman konsert K-Pop bertaraf dunia kepada peminat di Malaysia.

Bagi (G)I-DLE, ini sepatutnya menjadi penampilan kali ketiga mereka di Malaysia selepas konsert JUST ME ( )I-DLE pada September 2022 dan Festival Muzik 9 Wave pada November 2023.

BamBam pula dijadualkan membuat kemunculan solo keduanya di Malaysia selepas mengadakan konsert Area 52 World Tour pada Oktober 2023. Kombinasi dua artis ini dijangka memberi impak besar dalam landskap hiburan tempatan tahun ini.