ASUS dan MSI sudahpun memperlihatkan penawaran konsol permainan mudah-alih generasi terbaru mereka, iaitu ASUS ROG Xbox Ally X dan MSI Claw A8 yang juga akan mula dijual di pasaran tempatan tidak lama lagi. Satu lagi pemain dalam segmen ini, iaitu Lenovo masih lagi belum memperlihatkan sebarang butiran baru mengenai penawaran mereka sendiri, iaitu Lenovo Legion Go 2.
Secara teknikalnya, Lenovo sudahpun memperkenalkan konsol tersebut sewaktu acara CES 2025 pada awal tahun ini, tetapi sehingga kini, tidak banyak yang diketahui mengenai konsol tersebut, selain daripada ia mengekalkan reka bentuk alat kawalan yang boleh dicabut, dan akan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme yang terbaru.

Lenovo baru sahaja mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan acara Lenovo Innovation World 2025 di Berlin, Jerman pada 5 September 2025, sekitar waktu yang sama dengan acara IFA di lokasi yang sama.

Sewaktu acara ini, Lenovo dijangka akan memperlihatkan banyak produk-produk baru dalam pelbagai siri komputer riba, komputer desktop dan lain-lain. Diantaranya juga ialah konsol Lenovo Legion Go 2 yang akan bersaing dengan penawaran ASUS dan MSi yang kami katakan tadi.
IFA Berlin merupakan acara teknologi pengguna Eropah yang cukup besar dimana banyak syarikat-syarikat teknologi akan mempelihatkan penawaran mereka untuk separuh kedua tahun ini, dan juga teknologi pengguna di masa hadapan.


