Kontrak Air Selangor buka peluang Insight Analytics kembangkan perniagaan ke Semenanjung Malaysia - CIMB Securities

LocalBusiness & Finance
16 Nov 2026 • 11:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak Air Selangor buka peluang Insight Analytics kembangkan perniagaan ke Semenanjung Malaysia - CIMB Securities Image from: Kontrak Air Selangor buka peluang Insight Analytics kembangkan perniagaan ke Semenanjung Malaysia - CIMB Securities hamden16/11/2026 - 11:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Nov – Kontrak pertama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dijangka membuka ruang kepada Insight Analytics Bhd untuk mengembangkan perniagaan ke Semenanjung Malaysia, sekali gus mengurangkan kebergantungan syarikat terhadap projek di Sarawak.

 

CIMB Securities berkata, perjanjian rangka kerja bernilai RM3.2 juta itu menandakan pencapaian penting bagi Insight Analytics kerana ia merupakan kontrak pertama syarikat dengan operator utiliti air berkenaan serta projek berkaitan air tidak berhasil (NRW) pertamanya di luar Sarawak.

 

Firma penyelidikan tu berkata, kejayaan menembusi pasaran Air Selangor mengesahkan keupayaan Insight Analytics untuk mengembangkan operasi melangkaui pasaran sedia ada di Sarawak, selain membuka akses kepada peluang projek infrastruktur yang lebih luas.

 

Perjanjian itu meliputi pembinaan Zon Pemeteran Daerah (DMZ) baharu di bawah program Air Selangor bagi 2026-2027, khususnya Pakej 8 di Kuala Langat, Selangor.

 

Perjanjian rangka kerja berkenaan mempunyai anggaran nilai RM3.2 juta, manakala nilai kontrak muktamad dan tempoh pelaksanaan projek akan ditentukan selepas Air Selangor mengeluarkan pesanan pembelian.

 

Projek itu merupakan sebahagian daripada program lebih besar Air Selangor untuk membangunkan 600 DMZ baharu bagi meningkatkan pemantauan rangkaian, mengurus tekanan air serta mengesan kebocoran dan paip pecah lebih awal, sekali gus mengurangkan NRW.

 

"Kami melihat kontrak awal ini sebagai batu loncatan penting, dengan pelaksanaan yang berjaya berpotensi mengukuhkan kelayakan Insight Analytics untuk memperoleh projek NRW berskala lebih besar," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Potensi bidang pengurusan NRW

CIMB Securities menjangkakan Air Selangor akan terus menawarkan kerja berkaitan NRW, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang kepada Insight Analytics untuk meluaskan kehadirannya di Semenanjung Malaysia.

 

Selain pembinaan DMZ, Insight Analytics juga berpotensi menceburi bidang pengurusan NRW yang lebih menyeluruh serta penyelesaian pendigitalan air, sekali gus menjadikan Air Selangor sebagai saluran pertumbuhan jangka panjang syarikat di luar Sarawak.

 

"Walaupun nilai kontrak ini agak kecil, kami melihat pemberian kontrak berkenaan mempunyai kepentingan strategik kerana ia membolehkan syarikat bertapak dengan operator utiliti air terbesar di Malaysia dan berpotensi membuka laluan kepada projek NRW berskala lebih besar serta peluang pendigitalan air selepas pelaksanaan yang berjaya," katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, CIMB Securities mengekalkan unjuran pendapatan sesaham Insight Analytics bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 (FY2026-FY2028), selain mengekalkan harga sasaran RM1.80 dan saranan BELI terhadap saham syarikat itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved