Kontrak ditamatkan, Zetrix AI masih jalankan perkhidmatan imigresen melalui perjanjian sah yang lain

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2025 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak ditamatkan, Zetrix AI masih jalankan perkhidmatan imigresen melalui perjanjian sah yang lain

image is not available

31/07/2025 - 10:53

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai – Zetrix AI Bhd memaklumkan pihaknya telah menerima surat penjelasan daripada Kementerian Dalam Negeri yang mengesahkan syarikat itu masih dibenarkan untuk meneruskan penyediaan perkhidmatan berkaitan imigresen, meskipun kontraknya dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah ditamatkan baru-baru ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, perkhidmatan tersebut boleh diteruskan di bawah perjanjian-perjanjian sah lain yang dimeterai bersama pihak kerajaan.

“Zetix AI akan terus menawarkan perkhidmatan seperti pengurusan permit pekerja asing melalui kerjasama strategik dengan syarikat bersekutu, Heitech Padu Bhd yang memiliki 19.19% kepentingan dalam syarikat,” katanya.

Heitech Padu sebelum ini telah dianugerahkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM892.2 juta, yang merangkumi skop perkhidmatan imigresen digital dan permit pekerja asing yang akan menyokong kesinambungan operasi platform Zetrix AI.

Zetrix AI memberi jaminan perkhidmatan masih boleh diakses seperti biasa, dengan gangguan operasi yang minimum dan tiada impak material terhadap prestasi kewangannya.

Kedua-dua syarikat tersebut membentuk kerjasama strategik pada Oktober tahun lalu bagi membangunkan dan melaksanakan projek e-kerajaan semasa dan akan datang.

Kenyataan itu hadir susulan pengesahan awam pertama Zetrik AI mengenai penamatan kontrak dengan JIM, semalam.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak menyatakan secara jelas tarikh sebenar kontrak itu tamat.

Ia hanya menjelaskan tempoh lanjutan bagi perkhidmatan pembaharuan permit pekerja asing yang bermula Julai 2023 telah berakhir.

Baru-baru ini, media mendedahkan Laporan Jatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyatakan kerajaan telah menamatkan kontrak dengan Zetrix AI berikutan termeterainya perjanjian baharu selama enam tahun bersama Bestinet Sdn Bhd bagi pengendalian sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing. - DagangNews.com

standard