Kontraktor projek Jendela di Sabah didenda lebih RM200 juta, hampir menyamai nilai kontrak diperoleh - Fahmi

LocalPolitics
26 Nov 2026 • 12:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontraktor projek Jendela di Sabah didenda lebih RM200 juta, hampir menyamai nilai kontrak diperoleh - Fahmi Image from: Kontraktor projek Jendela di Sabah didenda lebih RM200 juta, hampir menyamai nilai kontrak diperoleh - Fahmi amree26/11/2026 - 12:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 26 Nov — Sebuah syarikat kontraktor yang terbabit dalam pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 di Sabah dikenakan penalti melebihi RM200 juta selepas gagal memenuhi kontrak, dengan jumlah itu hampir menyamai nilai tender yang dianugerahkan kepadanya.

 

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jumlah penalti berkenaan dikenakan berdasarkan kepada bilangan tapak yang diberikan kepada setiap syarikat di bawah pelaksanaan Jendela Fasa 1.

 

Menurut beliau, terdapat syarikat yang gagal menyiapkan tanggungjawab ditetapkan sehingga berdepan penalti yang amat tinggi, termasuk satu kes di Sabah membabitkan jumlah denda melebihi RM200 juta.

 

"Kontrak syarikat terbabit dianugerahkan sebelum saya memegang jawatan sebagai Menteri Komunikasi," jelasnya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan oleh Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) di Dewan Rakyat pada Khamis.

 

Ahli Parlimen tersebut ingin mengetahui berhubung tindakan terhadap mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan menara telekomunikasi mengikut tempoh ditetapkan serta langkah mengelakkan masalah sama berulang dalam Jendela Fasa 2.

 

Tambah Fahmi, susulan masalah pelaksanaan projek sebelum ini, kementerian itu memperketat syarat pelantikan subkontraktor bagi Jendela Fasa 2, khususnya bagi menangani isu rantaian subkontrak berlapis yang menyebabkan pihak subkontraktor tidak menerima bayaran.

 

Fahmi Fadzil_Bernama
Gambar BERNAMA

 

Menerusi syarat baharu itu, syarikat yang menerima kontrak Jendela perlu memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta mendapatkan kelulusan terlebih dahulu sebelum menyerahkan kerja kepada subkontraktor.

 

"Sehubungan itu, kerajaan tidak akan lagi membenarkan sebarang pengaturan subkontrak diteruskan sekiranya syarikat terbabit gagal mematuhi keperluan berkenaan," kata beliau.

 

Ujar beliau, amalan pemberian kerja melalui beberapa lapisan subkontraktor sebelum ini dikenal pasti sering menimbulkan masalah apabila pembayaran kepada pihak yang melaksanakan kerja tidak diselesaikan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi memaklumkan pelaksanaan Jendela Fasa 1 sudah pun berjaya disiapkan, manakala kumpulan pertama Jendela Fasa 2 yang melibatkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara sedang dilaksanakan.

 

Langkah kerajaan memperketat kawalan subkontrak itu dijangka membantu meningkatkan pemantauan pelaksanaan projek serta mengurangkan risiko kegagalan kontraktor memenuhi tanggungjawab masing-masing. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved