Kontraktor Terengganu dapat sekurang-kurangnya 15% nilai kontrak projek solar terapung di Tasik Kenyir

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 11:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontraktor Terengganu dapat sekurang-kurangnya 15% nilai kontrak projek solar terapung di Tasik Kenyir Image from: Kontraktor Terengganu dapat sekurang-kurangnya 15% nilai kontrak projek solar terapung di Tasik Kenyir liza18/11/2026 - 11:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA TERENGGANU 18 Nov – Kontraktor dan peniaga tempatan Terengganu diberi sekurang-kurangnya 15% daripada jumlah nilai kontrak projek Ladang Solar Terapung Tasik Kenyir, Hulu Terengganu bagi memastikan pemain industri negeri itu turut mendapat manfaat daripada pembangunan berkenaan.

 

Ketetapan itu merupakan antara syarat pelaksanaan projek berkenaan namun tertakluk kepada pematuhan syarat kelayakan dan daya saing kontraktor serta peniaga tempatan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat berkata projek berkenaan kini berada dalam fasa pembangunan dengan kerja-kerja fizikal dan lapangan bagi fasa pertama bermula pada suku ketiga 2026.

 

“Fasa pertama projek Ladang Solar Terapung Tasik Kenyir melibatkan kapasiti 595 megawatt (MW) dan dijangka mengambil masa dua tahun untuk disiapkan dengan operasi komersial disasarkan pada suku ketiga 2028,” katanya menjawab soalan Dr Mamad Puteh (PAS-Kuala Berang) yang ingin tahu mengenai perkembangan semasa projek Ladang Solar di Tasik Kenyir serta manfaatnya kepada rakyat pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

 

Projek Kenyir Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS) itu dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan TNB Genco melalui Konsortium Terengganu Inc-TNB Genco.

 

Bagi fasa pertama, TNB Genco/TNB memegang 70% kepentingan manakala Terengganu Inc memiliki baki 30%. 

 

Empat fasa pembangunan sehingga 2030

Projek berkenaan dirancang untuk dilaksanakan dalam empat fasa pembangunan, dengan fasa kedua melibatkan kapasiti 750MW.

 

Beliau berkata kerja fizikal fasa kedua dijadualkan bermula pada 2027 sebelum mencapai operasi komersial pada 2029.

 

“Sementara itu, fasa ketiga dan keempat melibatkan kapasiti melebihi 1,000MW, dengan kerja fizikal dijangka bermula pada 2028 dan operasi komersial disasarkan pada 2030.

 

“Pembangunan itu melibatkan empat kawasan di sekitar Tasik Kenyir, iaitu L1, L2, L3 dan L4. Bagaimanapun, kapasiti sebenar setiap fasa masih tertakluk kepada hasil kajian kebolehlaksanaan dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA),” katanya.

 

Gabungan teknologi solar terapung dan hidroelektrik

Projek HHFS Kenyir menggabungkan teknologi solar terapung dengan sistem hidroelektrik sedia ada di Tasik Kenyir, dengan panel solar menjana tenaga elektrik pada waktu siang, manakala sistem hidroelektrik melengkapkan bekalan pada waktu malam atau ketika cahaya matahari berkurangan.

 

Penggunaan permukaan tasik bagi pemasangan panel solar juga dapat mengurangkan keperluan penggunaan tanah, selain kesan penyejukan air yang membantu meningkatkan kecekapan panel dan berpotensi mengurangkan kadar penyejatan air.

 

Projek itu merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi menyokong peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved