MB sertai ibadah korban Aidiladha bersama penduduk Klang Gate

LocalPolitics
27 May 2026 • 3:31 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MB sertai ibadah korban Aidiladha bersama penduduk Klang Gate

GOMBAK, 27 MEI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyertai ibadah korban sempena Aidiladha dengan menyembelih seekor lembu di Astaka Arena Kampung Klang Gate, hari ini.

Hadir sama isterinya Datin Seri Masdiana Muhamad dan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang Juwairiya Zulkifli.

Image from: MB sertai ibadah korban Aidiladha bersama penduduk Klang Gate
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad bergambar bersama penduduk ketika hadir dalam Ziarah Qurban Bersama Komuniti Penduduk Klang Gate di Astaka Arena Kg Klang Gate pada 27 May 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Klang Gate Baru, Mohd Aliff Mohd Safii berkata sebanyak tiga ekor lembu disumbangkan Pejabat Dato’ Menteri Besar, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Penyelaras DUN Hulu Kelang bagi menjayakan ibadah korban di kampung berkenaan.

“Kami rasa amat bangga dan berbesar hati apabila Dato’ Menteri Besar sendiri sanggup turun padang menyambut ibadah korban bersama penduduk Kampung Klang Gate Baru.

“Beliau bukan sahaja menyertai proses sembelihan korban, malah turut serta dalam aktiviti rewang, beramah mesra dan makan bersama penduduk kampung,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Menurut Mohd Aliff, daging korban yang disembelih akan diagihkan kepada penduduk kampung dan golongan memerlukan di sekitar kawasan berkenaan.

Image from: MB sertai ibadah korban Aidiladha bersama penduduk Klang Gate
Penduduk kampung Klang Gate bergotong royong melapah lembu dalam Ziarah Qurban Bersama Komuniti Penduduk Klang Gate di Astaka Arena Kg Klang Gate pada 27 May 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Tambahnya lagi, program itu turut mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat selain menyemarakkan semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk dan petugas proses penyembelihan serta menyertai jamuan rewang.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta bagi menjayakan Program Sumbangan Korban tahun ini melalui kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan syarikat korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

EXCO Pertanian, Dato’ Ir Izham Hashim berkata sebanyak 800 ekor lembu dan 600 ekor kambing disediakan, dengan jaminan ternakan berkualiti tinggi bagi memastikan agihan kepada penerima berjalan lancar dan memberi manfaat optimum.