hamden19/11/2026 - 10:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - Keputusan Indonesia menarik balik dasar pengeksport tunggal bagi tiga komoditi utamanya dijangka mengurangkan risiko perolehan bekalan dan campur tangan kerajaan, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada Malayan Cement Bhd (LMC) yang berdepan tekanan kenaikan harga arang batu.
RHB Research berkata, perkembangan itu susulan tindakan Jakarta melantik Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI) sebagai badan pemantau eksport, berbanding memberikan status pengeksport tunggal bagi tiga komoditi utama negara berkenaan.
"Perubahan dasar itu dijangka membolehkan rundingan, penetapan harga dan urusan penghantaran terus dilaksanakan secara langsung antara pengeksport dengan pembeli.
"Bagaimanapun, DSI masih akan menyemak invois akhir ketika proses pelepasan kastam serta mengenakan fi perkhidmatan kepada pengeksport, meskipun jumlah fi berkenaan masih belum dimuktamadkan.
"Keadaan itu dijangka mengurangkan sebahagian ketidaktentuan dalam proses perolehan bekalan, namun tekanan kos arang batu terhadap LMC masih menjadi kebimbangan utama dalam tempoh terdekat," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenaikan harga arang batu tekan margin keuntungan
Dalam perkembangan berkaitan, harga Indeks Arang Batu Indonesia (ICI) meningkat kepada AS$102 setan pada pertengahan November 2026, melonjak 22% dalam tempoh lapan minggu.
Kenaikan itu memberi isyarat tekanan kos berterusan terhadap LMC, memandangkan arang batu merangkumi kira-kira 20% hingga 30% daripada kos pengeluarannya.
Pihak pengurusan sebelum ini memaklumkan kumpulan sudah memperoleh stok arang batu sehingga Oktober-November 2026 pada harga AS$80 hingga AS$90 setan, iaitu 15% hingga 38% lebih tinggi berbanding paras FY26, sambil mengekalkan rebat RM20 setan.
Berdasarkan anggaran penganalisis, setiap kenaikan harga arang batu sebanyak AS$10 setan boleh mengurangkan pendapatan LMC sebanyak 5% hingga 6% setahun dan menurunkan margin keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) sebanyak 130 mata asas, dengan andaian pemindahan kos kepada pelanggan adalah minimum dan kenaikan harga berterusan.
RHB Research turut menjangkakan keuntungan bersih teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) LMC bagi suku pertama tahun kewangan 2027 (1QFY27) berjumlah RM180 juta hingga RM210 juta, susut 5% hingga 19% berbanding suku sebelumnya.
Prestasi lebih lemah itu dijangka mencerminkan kesan penuh kenaikan harga arang batu, yang dianggarkan meningkatkan kos sebanyak 15% hingga 20%.
Margin bersih kumpulan juga dijangka menyusut kepada 15% hingga 16% berbanding 18.2% pada FY26.
Harga sasaran diturunkan kepada RM6.45
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham LMC, namun menurunkan harga sasaran kepada RM6.45 daripada RM8.20 sebelum ini.
Harga sasaran baharu itu berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 11 kali bagi FY27F berbanding 14 kali sebelum ini, dengan mengambil kira tekanan harga arang batu yang masih tinggi terhadap margin keuntungan kumpulan.
Anggaran pendapatan dikekalkan tidak berubah, manakala penilaian saham LMC kini berada pada P/E 8.8 kali bagi FY27F, iaitu 1.8 sisihan piawai di bawah purata sejarahnya dan paras terendah dalam tempoh dua tahun.
Harga sasaran baharu itu menawarkan potensi kenaikan sebanyak 24%, selain hasil dividen dianggarkan 2% bagi FY27F.
Bagaimanapun, RHB Research tidak menolak kemungkinan pembetulan harga saham dalam tempoh terdekat sekiranya harga arang batu terus meningkat. - DagangNews.com






