liza16/11/2026 - 17:20 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Nov – Cuckoo International (MAL) Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 97.1% kepada RM26.6 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY2026), berbanding RM13.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong margin keuntungan lebih tinggi dan pengurusan kos yang lebih baik.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cuckoo berkata peningkatan itu dicatatkan walaupun hasil kumpulan merosot 8.4% kepada RM242.1 juta daripada RM264.3 juta sebelumnya, susulan permintaan pengguna yang lebih perlahan dan penurunan jumlah unit produk terjual.
“Keuntungan sebelum cukai (PBT) turut meningkat 99.2% kepada RM37.5 juta berbanding RM18.8 juta pada Q3FY2025. Dari segi prestasi operasi, keuntungan kasar kumpulan meningkat 6.1% kepada RM89.9 juta berbanding RM84.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
“Margin keuntungan kasar turut meningkat kepada 37.1% berbanding 32.1% sebelum ini, disokong kos purata mendapatkan pelanggan yang lebih rendah serta penurunan kos produk susulan pengukuhan purata nilai ringgit Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, perbelanjaan pengedaran berkurangan 10.5% kepada RM15.7 juta berbanding RM17.5 juta, manakala kerugian rosot nilai instrumen kewangan menyusut 37.7% kepada RM18.3 juta daripada RM29.4 juta.
Pengurangan kerugian rosot nilai itu mencerminkan peningkatan tingkah laku pembayaran balik pelanggan susulan pelaksanaan langkah penilaian kredit yang lebih ketat sejak Julai 2025.
Kos kewangan bersih kumpulan turut menurun 31.6% kepada RM3.1 juta berbanding RM4.6 juta sebelumnya, disumbangkan pengurangan pinjaman serta pergerakan kadar pertukaran asing yang memihak kepada kumpulan.
Keuntungan bersih sembilan bulan meningkat 16.1%
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), keuntungan bersih Cuckoo meningkat 16.1% kepada RM79.7 juta berbanding RM68.7 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai turut meningkat 14.4% kepada RM109.1 juta daripada RM95.3 juta, manakala hasil merosot 17.5% kepada RM715.9 juta berbanding RM867.2 juta sebelumnya.
Keuntungan kasar bagi tempoh itu menyusut 3.5% kepada RM266.5 juta daripada RM276.1 juta, namun margin keuntungan kasar meningkat kepada 37.2% berbanding 31.8% pada tahun sebelumnya.
Pinjaman berkurangan, aliran tunai operasi bertambah baik
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah ekuiti kumpulan meningkat kepada RM1.16 bilion setakat 30 September 2026 berbanding RM1.11 bilion pada akhir tahun kewangan 2025.
Jumlah pinjaman dan pinjaman lain turut berkurangan kepada RM84.4 juta berbanding RM139.6 juta pada 31 Disember 2025.
Cuckoo juga merekodkan aliran tunai bersih daripada aktiviti operasi sebanyak RM78.3 juta bagi sembilan bulan pertama 2026 berbanding aliran keluar tunai bersih RM14.1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Cuckoo Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, prestasi suku ketiga menunjukkan daya tahan perniagaan kumpulan meskipun berdepan persekitaran pengguna yang lebih berhati-hati.
Beliau berkata, peningkatan keuntungan mencerminkan kemajuan kumpulan dalam memperbaiki margin, mengurus kos serta meningkatkan kualiti portfolio pelanggan.
Menurutnya, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan struktur ASP, mengoptimumkan rangkaian pengedaran pelbagai saluran serta memperluas ekosistem penyelesaian kesejahteraan menerusi pengenalan produk dan perkhidmatan bersesuaian.
Cuckoo kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek bagi baki tahun kewangan 2026, dengan pengurusan kos, kredit dan kedudukan kewangan secara berdisiplin menjadi keutamaan bagi mengekalkan prestasi keuntungan serta mewujudkan nilai jangka panjang. - DagangNews.com






