hamden11/11/2026 - 11:40 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Nov - Peningkatan kos pengangkutan dan bahan mentah terus memberi tekanan kepada pengilang di Malaysia, dengan sebahagian daripada kenaikan kos operasi itu mula dipindahkan kepada pelanggan, menurut JF Apex Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, ini sekali gus menjadi cabaran kepada sektor pembuatan meskipun aktiviti perindustrian negara menunjukkan momentum pertumbuhan positif.
Firma itu menambah, pengilang melaporkan tekanan kos yang semakin meningkat susulan kenaikan harga komoditi, khususnya melibatkan kos pengangkutan dan bahan mentah yang kemudiannya diserap melalui pelarasan harga kepada pelanggan.
"Peningkatan kos perniagaan bersama ketidaktentuan geopolitik turut menjejaskan keyakinan perniagaan, yang merosot ke paras terendah dalam tempoh enam bulan.
"Selain tekanan kos, risiko lain termasuk dasar global yang semakin ketat sehingga berpotensi menjejaskan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), selain ketidaktentuan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Permintaan antarabangsa sokong barangan tempatan
JF Apex Securities bagaimanapun kekal positif terhadap prospek sektor pembuatan dalam tempoh terdekat, disokong peningkatan permintaan antarabangsa terhadap barangan keluaran tempatan.
Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) Malaysia meningkat 6.3% tahun ke tahun pada September 2026, lebih tinggi berbanding 5.0% pada Ogos dan mengatasi jangkaan konsensus pasaran sebanyak 5.6%.
Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh prestasi sektor pembuatan yang berkembang 9.4% berbanding 7.4% pada bulan sebelumnya.
Sebaliknya, sektor perlombongan menguncup 9.4% selepas mencatatkan penurunan 7.4% pada Ogos, manakala pengeluaran elektrik kekal kukuh pada 10.7% berbanding 9.0% sebelumnya.
Dari segi pecahan sektor pembuatan, segmen berorientasikan eksport berkembang 10.7% pada September berbanding 9.1% pada Ogos, disokong peningkatan dalam produk kok dan petroleum bertapis, produk komputer, elektronik dan optik serta mesin dan peralatan.
Segmen berorientasikan domestik turut mencatatkan pertumbuhan lebih pantas sebanyak 6.6% berbanding 3.9% pada bulan sebelumnya, dipacu peningkatan dalam produk pemprosesan makanan, logam asas serta kenderaan bermotor, treler dan semi treler.
Pembuatan domestik kembali berkembang
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan sektor pembuatan domestik turut menunjukkan perkembangan positif apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia kembali ke paras pengembangan pada 51.0 pada Oktober, berbanding 49.9 pada September.
Pengilang meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan antarabangsa yang lebih kukuh, sekali gus mengukuhkan jangkaan bahawa momentum aktiviti perindustrian, yang sebahagian besarnya dipacu kitaran peningkatan teknologi global, akan berterusan dalam tempoh terdekat.
Keyakinan terhadap sektor pembuatan turut disokong daya tahan ekonomi domestik yang dijangka terus membantu segmen berorientasikan pasaran tempatan.
Bagi suku ketiga 2026, pertumbuhan IPI mencatatkan purata 5.3% berbanding 7.7% pada suku kedua, apabila pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 7.8% diimbangi penguncupan sektor perlombongan sebanyak 6.7%.
Angka itu sejajar dengan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang menunjukkan sektor pembuatan berkembang 7.5%, manakala sektor perlombongan menguncup 4.9%.
Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia 2026 pada 5.0%, namun berkata prestasi sektor pembuatan yang lebih kukuh membuka ruang kepada pertumbuhan lebih tinggi sehingga 5.4%.
Data akhir KDNK suku ketiga 2026 dijadualkan diumumkan pada 18 November. - DagangNews.com





