Lonjakan permintaan semikonduktor di Taiwan dan Singapura buka ruang pertumbuhan lebih besar untuk Frontken hingga FY28 – Apex Securities

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 11:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Lonjakan permintaan semikonduktor di Taiwan dan Singapura buka ruang pertumbuhan lebih besar untuk Frontken hingga FY28 – Apex Securities Image from: Lonjakan permintaan semikonduktor di Taiwan dan Singapura buka ruang pertumbuhan lebih besar untuk Frontken hingga FY28 – Apex Securities liza10/11/2026 - 11:23 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov – Permintaan tinggi daripada industri semikonduktor serta pengembangan kapasiti operasi di Taiwan dan Singapura terus menjadi pemacu utama pertumbuhan keuntungan Frontken Corporation Berhad sehingga tahun kewangan 2028 (FY28), kata Apex Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata prospek pendapatan syarikat penyedia perkhidmatan sokongan kepada industri semikonduktor itu kekal positif, dipacu tempahan penuh kapasiti pengeluaran pelanggan utama di Taiwan serta peningkatan kapasiti operasi secara berperingkat.

 

Sehubungan itu, firma tersebut menaikkan unjuran keuntungan bersih teras Frontken bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing sebanyak 3.2%, 10.8% dan 18.2% kepada RM203.7 juta, RM229.2 juta dan RM256.9 juta.

 

Menurut Apex Securities, peningkatan unjuran itu mengambil kira prestasi kewangan sembilan bulan pertama FY26, jangkaan keputusan lebih baik pada suku keempat serta sumbangan tambahan daripada pengembangan operasi di Taiwan dan Singapura.

 

Pengembangan kapasiti Taiwan jadi pemacu utama

“Dari segi operasi, kilang (Plant 3) di Taiwan dijangka memulakan pengeluaran pada jumlah rendah mulai pertengahan November 2026 sebelum mencapai pengeluaran penuh pada Januari 2027.

 

Kemudahan itu akan mengambil alih operasi pembersihan TFT-LCD daripada Plant 1, sekali gus membolehkan ruang di kilang sedia ada itu dinaik taraf untuk menambah kira-kira 20% lagi barisan pengeluaran. Kerja pengubahsuaian selama enam bulan itu melibatkan perbelanjaan modal sekitar RM20 juta dan kapasiti tambahan dijangka tersedia pada separuh kedua FY27.

 

Selain itu, pembangunan Plant 5 di Tainan yang terletak kira-kira 950 meter dari Plant 1 dijangka siap pada suku keempat 2026, dengan kerja pengubahsuaian fasa pertama bermula pada separuh pertama 2027 sebelum mula menyumbang kepada hasil pada 2028.

 

Pengurusan menjangkakan lima kemudahan pengeluaran di Taiwan mampu menyokong pertumbuhan kumpulan sehingga 2030, dengan jualan dari negara itu berpotensi meningkat sekitar 20% tahun ke tahun apabila pengembangan Plant 1 dan peningkatan operasi Plant 5 dilaksanakan.

 

Operasi Singapura dan peluang pengambilalihan

Dalam pada itu, kerja naik taraf kemudahan Frontken di Singapura bagi memenuhi keperluan pelanggan baharu berjalan mengikut jadual dengan sumbangan awal dijangka bermula pada November 2026.

 

Apex Securities berkata, sumbangan pelanggan baharu itu dijangka meningkat dengan lebih ketara mulai awal 2027, manakala pengurusan melihat margin keuntungan operasi Singapura berpotensi mengatasi Taiwan pada tahun depan berikutan sebahagian besar kos tetap kemudahan berkenaan telah ditampung.

 

“Selain pertumbuhan organik, pengurusan turut menyasarkan Jepun sebagai pasaran pertama bagi peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A), diikuti Eropah dan Amerika Syarikat, dengan kesediaan menggunakan 30% hingga 40% daripada tunai sekitar RM1.5 bilion bagi beberapa urus niaga,” katanya.

 

Mengulas prospek kewangan kumpulan, Apex Securities menjangkakan momentum keuntungan Frontken terus meningkat pada FY27, dengan pertumbuhan lebih ketara dijangka berlaku pada separuh kedua tahun kewangan itu berikutan kos pengembangan yang lebih tinggi pada separuh pertama.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham Frontken, selain menaikkan harga sasaran kepada RM6.55 daripada RM5.86 sebelum ini, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 46.2 kali ke atas unjuran pendapatan sesaham teras FY28 sebanyak 14.2 sen.

 

Pada harga saham RM4.72 ketika laporan dikeluarkan, sasaran baharu itu menunjukkan potensi kenaikan harga sebanyak 38.8%, tidak termasuk hasil dividen.

 

Prestasi suku tertinggi dalam sejarah

Sementara itu, Maybank Investment Bank berkata, Frontken mencatatkan prestasi kewangan suku ketiga 2026 (3QFY26) tertinggi dalam sejarah dengan keuntungan bersih meningkat 25% tahun ke tahun kepada RM57.3 juta, manakala hasil berkembang 12% kepada RM181 juta. 

 

“Prestasi itu mencerminkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan semikonduktor di Taiwan dan Singapura, selain sumbangan lebih tinggi daripada jualan berkaitan minyak dan gas di Malaysia,” katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 (9MFY26), keuntungan bersih Frontken meningkat 33% kepada RM147.3 juta, menunjukkan momentum pertumbuhan syarikat terus meningkat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menurut Maybank IB, prospek pertumbuhan Frontken disokong permintaan berterusan terhadap semikonduktor susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC). 

 

Perkembangan itu dijangka merangsang aktiviti industri semikonduktor, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan syarikat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved