Kos pembiayaan tinggi hadkan agihan pendapatan AME Reit pada 1HFY27 - Penganalisis

Business & FinanceProperty
22 Oct 2026 • 10:45 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos pembiayaan tinggi hadkan agihan pendapatan AME Reit pada 1HFY27 - Penganalisis Image from: Kos pembiayaan tinggi hadkan agihan pendapatan AME Reit pada 1HFY27 - Penganalisis liza22/10/2026 - 10:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt – Kos pembiayaan yang meningkat mengehadkan jumlah agihan pendapatan yang boleh dibayar AME Reit kepada pelabur meskipun hasil sewaan asetnya naik 14.7% kepada RM34.2 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27).

 

Pendapatan yang boleh diagihkan kepada pemegang unit hanya meningkat 6% kepada RM23.2 juta berbanding RM21.9 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, menurut BIMB Securities Research.

 

Bagi suku kedua tahun kewangan 2027 (2QFY27), pendapatan yang tersedia untuk diagihkan meningkat 2% kepada RM11.7 juta berbanding RM11.5 juta setahun sebelumnya.

 

AME Reit mengisytiharkan agihan pendapatan seunit (DPU) sebanyak 2.19 sen bagi suku berkenaan, meningkat 1.4% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan 1.9% berbanding suku sebelumnya.

 

Agihan itu akan dibayar pada 26 November 2026 kepada pemegang unit yang direkodkan pada 6 November 2026. Berdasarkan harga unit RM1.55, hasil agihan tahunan dianggarkan sekitar 5.7%.

 

Portfolio berkembang kepada 44 hartanah

BIMB Securities berkata, portfolio AME REIT berkembang kepada 44 hartanah selepas menyelesaikan pengambilalihan tiga bidang tanah perindustrian pegangan bebas di i-Park@Senai Airport City pada 23 September 2026.

 

Pengambilalihan bernilai RM50.23 juta itu melibatkan tanah seluas 8.87 ekar dan menyokong strategi AME REIT membangunkan hartanah untuk disewakan (build-to-lease).

 

Portfolio itu merangkumi 38 hartanah perindustrian, tiga asrama pekerja dan tiga bidang tanah yang dipegang untuk pembangunan. Kadar penghunian aset yang menjana pendapatan juga kekal pada 100%.

 

Bagaimanapun, sumbangan pendapatan daripada pembangunan baharu bergantung pada penyelesaian pembinaan dan permulaan tempoh penyewaan. 

 

AME Reit juga perlu memastikan pulangan daripada pembangunan mencukupi untuk menampung kos pembinaan serta pembiayaan.

 

Jumlah pembiayaan AME Reit meningkat kepada RM375.5 juta, menyebabkan nisbah hutang kepada aset naik kepada 34% berbanding 28.8% pada akhir Mac 2026.

 

BIMB naikkan harga sasaran kepada RM1.98

BIMB Securities mengekalkan saranan BELI terhadap AME Reit dan menaikkan harga sasaran kepada RM1.98 daripada RM1.93.

 

Penilaian itu mengambil kira kadar penghunian penuh, kenaikan kadar sewa apabila kontrak diperbaharui serta sumbangan daripada hartanah yang baru diperoleh.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pengambilalihan hartanah yang memberikan pulangan lebih tinggi, kenaikan kadar sewa dan kejayaan mendapatkan penyewa bagi pembangunan baharu merupakan antara faktor yang boleh menyokong agihan pendapatan AME Reit.

 

Namun, kos pembiayaan yang lebih tinggi boleh terus mengehadkan peningkatan agihan dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved