sarah22/10/2026 - 15:22 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Okt - Hampir seorang daripada empat rakyat Malaysia berusia 25 hingga 44 tahun menangguhkan atau membatalkan rancangan berkahwin, mengadakan majlis perkahwinan atau mendapatkan anak pertama akibat kekangan kewangan, menurut tinjauan RinggitPlus 2026.
Menurut Tinjauan Celik Kewangan Malaysia 2026 (RMFLS) oleh RinggitPlus, sebanyak 24.3% responden dalam kumpulan umur itu membuat keputusan berkenaan atas faktor kewangan dalam tempoh lima tahun lalu, dengan peratusan lebih tinggi dicatatkan dalam kalangan mereka berusia 25 hingga 34 tahun, iaitu 28.9%.
Tekanan itu turut merentasi kumpulan pendapatan apabila 25.8% responden berpendapatan RM2,000 hingga RM4,999 melaporkan keputusan sedemikian, berbanding 22.8% bagi mereka yang berpendapatan bawah RM2,000 dan 23.1% bagi kumpulan berpendapatan sekurang-kurangnya RM5,000.
Pada masa sama, tinjauan itu mendapati 63% responden memberikan bantuan kewangan kepada ibu bapa atau mentua, termasuk 32% yang berbuat demikian setiap bulan, sekali gus memperlihatkan komitmen kewangan keluarga yang perlu ditanggung selain keperluan peribadi.
Lebih membimbangkan, sebanyak 39% responden berpendapatan peribadi bawah RM2,000 mengakui simpanan mereka hanya mampu bertahan kurang sebulan sekiranya kehilangan pekerjaan, meningkat berbanding angka 35% bagi 2025 yang telah diselaraskan untuk tujuan perbandingan.
Dalam kumpulan pendapatan sama, 36% tidak membuat sebarang simpanan bulanan, meningkat daripada 33% pada 2025, sedangkan hanya 14% responden berpendapatan RM2,000 ke atas mempunyai simpanan yang mampu bertahan kurang sebulan tanpa pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif RinggitPlus, Yuen Tuck Siew berkata, penemuan itu menunjukkan kewangan semakin mempengaruhi keputusan berkaitan keluarga dan perancangan masa depan, selain menyerlahkan jurang simpanan yang semakin melebar antara kumpulan berpendapatan rendah dengan kumpulan lain.
"Jurang simpanan antara mereka yang berpendapatan peribadi bawah RM2,000 dengan kumpulan lain semakin melebar. Perkara ini memerlukan perhatian. Pendidikan kewangan perlu praktikal dan mudah diakses supaya rakyat Malaysia dapat menggunakan pengetahuan mereka untuk membuat keputusan harian dan lebih bersedia menghadapi masa depan," katanya.
Tinjauan itu turut mendapati 45.6% responden menjangkakan mereka akan terus bekerja selepas usia persaraan, sama ada secara sambilan atau tidak bersara sepenuhnya, manakala 56.2% responden yang mempunyai pekerjaan utama turut memperoleh pendapatan daripada pekerjaan berbayar lain. Selain itu, 25.3% responden melaporkan kehilangan wang akibat penipuan dalam tempoh 12 bulan lalu.
RMFLS 2026 yang mendapat pengiktirafan Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) dijalankan secara dalam talian membabitkan 3,005 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas antara 28 September hingga 11 Oktober 2026. Tinjauan tahunan kali kesembilan itu turut mendapati 41.3% responden menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) untuk membantu menguruskan kewangan mereka.- DagangNews.com


![[VIDEO] Perusuh jual beg LV, Hermes tepi jalan harga tidak masuk akal](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/beg-murah.png)



