Kos ubat semakin mahal: Perubahan dasar kerajaan beri kelebihan kepada Pharmaniaga, Duopharma – MBSB Research

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kos ubat semakin mahal: Perubahan dasar kerajaan beri kelebihan kepada Pharmaniaga, Duopharma – MBSB Research Image from: Kos ubat semakin mahal: Perubahan dasar kerajaan beri kelebihan kepada Pharmaniaga, Duopharma – MBSB Research liza29/10/2026 - 10:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt – Kos ubat yang semakin mahal mendorong perubahan pendekatan perolehan kerajaan dengan mengutamakan ubat generik yang memberi kelebihan kepada pengeluar tempatan seperti Pharmaniaga Bhd dan Duopharma Biotech Bhd, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata kerajaan memperketat penilaian keberkesanan kos rawatan bagi mengawal perbelanjaan ubat-ubatan yang semakin mahal susulan peningkatan permintaan terhadap ubat bagi penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk diabetes, penyakit kardiovaskular dan kanser, selain pertambahan penduduk berusia.

 

MBSB Research berkata, peningkatan penyakit kronik turut meningkatkan keperluan terhadap ubat khusus yang mahal yang memberi tekanan kepada perbelanjaan kesihatan negara.

 

“Prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa di Malaysia dianggarkan meningkat daripada 17.5% pada 2015 kepada 22.5% pada 2025, bersamaan kira-kira 5.2 juta orang, dan dijangka mencapai 25% hingga 27.5% menjelang 2035.

 

“Bagi kanser pula, purata kes baharu tahunan dianggarkan meningkat daripada 28,000 pada 2015 kepada 49,000 pada 2025 dan 69,000 menjelang 2035,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.

 

Kira-kira 79% pembiayaan penjagaan kesihatan swasta ditanggung melalui bayaran sendiri meningkatkan risiko pesakit tidak mampu menanggung kos rawatan yang mahal.

 

Perolehan ubat berasaskan nilai

Menurut MBSB Research, kira-kira 78% perbelanjaan ubat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini diperuntukkan kepada ubat generik, manakala baki 22% melibatkan ubat berpaten dan ubat baharu.

 

“Penggunaan ubat generik yang lebih murah membolehkan kerajaan mengawal perbelanjaan, di samping menyediakan ruang belanjawan untuk membiayai rawatan inovatif yang lebih mahal.

 

“Kerajaan turut menggunakan penilaian teknologi kesihatan Malaysia (MaHTAS) bagi menilai sama ada manfaat sesuatu ubat setimpal dengan kosnya. Ubat baharu juga boleh ditolak atau dihadkan jika kesan kewangannya melebihi kemampuan peruntukan tahunan,” katanya.

 

Selain itu, perjanjian akses terurus membolehkan kerajaan berunding dengan pengeluar farmaseutikal mengenai rebat, had perbelanjaan atau bayaran balik jika ubat tidak mencapai hasil rawatan yang dipersetujui.

 

Pendekatan itu bertujuan menyediakan akses kepada ubat mahal, termasuk terapi kanser dan ubat biologi bagi penyakit autoimun, tanpa mendedahkan belanjawan kerajaan kepada risiko kewangan yang berlebihan.

 

Pharmaniaga, Duopharma dijangka mendapat manfaat

MBSB Research berpandangan perubahan pendekatan perolehan itu memberi peluang kepada pengeluar ubat generik dan biosimilar tempatan, termasuk Pharmaniaga Bhd dan Duopharma Biotech Bhd.

 

Pharmaniaga berpeluang mendapat manfaat daripada kontrak bekalan ubat kerajaan bagi tempoh panjang serta kedudukannya sebagai pembekal ubat dan penyedia perkhidmatan logistik kepada sektor kesihatan awam.

 

Duopharma pula berpotensi memperoleh bekalan berulang melalui tender kerajaan, khususnya bagi ubat generik untuk penyakit kronik.

 

MBSB Research kekal positif terhadap sektor

MBSB Research mengekalkan pandangan positif terhadap sektor farmaseutikal Malaysia, dengan Pharmaniaga sebagai pilihan utama pada saranan BELI dan harga sasaran RM1.44, berbanding harga saham RM0.78 pada 28 Oktober 2026.

 

Bagi Duopharma, firma penyelidikan itu menetapkan nilai saksama RM1.36 berbanding harga saham RM1.12 pada tarikh sama, tanpa memberikan penarafan saranan pelaburan.

 

Bagaimanapun, firma itu mengingatkan bahawa pengeluar ubat generik masih perlu bersaing dalam tender dan memastikan bekalan mencukupi, manakala pengeluar ubat baharu perlu membuktikan keberkesanan kos untuk mendapatkan pembiayaan kerajaan.

 

Secara keseluruhan, MBSB Research berpandangan pendekatan perolehan berasaskan nilai, penggunaan ubat generik dan pengukuhan pengeluaran tempatan penting untuk mengawal kos rawatan serta memastikan bekalan ubat negara terus terjamin. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved